Sebanyak RM10 juta diperuntukkan kerajaan untuk membina 11 tanda arah suar di lokasi terpilih di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, enam tanda suar dibina di Batu Gajah (Lumut), Sungai Chua (Port Dickson), Sungai Tiong (Perak), Sungai Tengkorak (Selangor), Sungai Duyong (Melaka) dan Sungai Haji Dorani.

Manakala lima tanda bagi laluan kapal dagang iaitu di Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Sarang Lang, Batu Mandi dan Pelabuhan Kuantan.

 "Dengan adanya tanda arah suar ini, ia bakal menjamin keselamatan mereka (nelayan) yang sering keluar masuk atau pulang ke jeti setelah selesai menangkap hasil laut tidak kira waktu siang atau malam.

"Malah, pembinaan ini membuktikan kerajaan persekutuan mengambil berat kebajikan rakyat khususnya golongan nelayan di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tanda Arah Suar Kuala Sungai Sekinchan, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai penahanan enam nelayan tempatan di Indonesia, Tiong Lai menegaskan beliau akan membangkitkan isu berkenaan di peringkat Kabinet.

"Seperti sedia maklum, mereka semua (nelayan) sepatutnya pulang sebelum Tahun Baharu Cina. Namun, disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, perbincangan itu menemui jalan buntu.

"Kita turut meminta pihak berkuasa Indonesia supaya tidak meletupkan kapal milik nelayan yang ditahan di negara berkenaan," katanya.

-Sinar Harian-