Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang disifatkan sebagai tidak mempunyai pendirian tetap apabila masih berteka-teki sama ada beliau kekal bertanding di Johor atau meninggalkan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penasihat parti pembangkang itu dilihat seperti hilang arah apabila terperangkap dalam percaturan pemilihan calon parti dengan beralih tumpuan untuk ‘membunuh’ semangat MCA di negeri itu.

“Dia kata mahu hantar ‘orang kuat’ pembangkang ke Johor namun setakat ini hanya Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong,” katanya pada sidang media selepas melawat jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Tebrau, semalam.

Liew dicalon untuk bertanding kerusi Parlimen Ayer Hitam yang disandang oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Liow mengulas desas desus kononnya Lim tidak akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah, sebaliknya mencari kawasan baharu untuk bertanding termasuk menjadikan Parlimen Johor Bahru antara sasarannya.

Dalam pada itu, Liow menegaskan jentera MCA tidak pernah gentar dengan strategi DAP malah sentiasa memperkukuhkan kesepakatan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain bagi memastikan parti itu dapat mempertahankan empat kerusi Parlimen di Johor.

Pada PRU13, MCA memenangi kerusi Parlimen Labis, Ayer Hitam, Tebrau dan Tanjung Piai di Johor dengan Datuk Khoo Seang menewaskan calon PKR, Choong Shiau Yoon dengan majoriti 1,767 undi di Parlimen Terbrau.

Sementara itu bekas Pengerusi DAP Johor , Dr Boo Cheng Hau, semalam meminta pemimpin parti itu yang terbabit rasuah supaya berhenti daripada berkhidmat kepada rakyat.

Cheng Hau, yang juga bekas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, berkata sistem demokrasi yang berfungsi perlu bersandarkan pada budaya yang disanjung semua pihak iaitu bebas daripada gejala rasuah.

Meskipun tidak menyebut nama pemimpin itu, ketika ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berdepan perbicaraan kes rasuah bersama seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon, berhubung penukaran status tanah zon pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

“Saya tidak pernah ada skandal, saya tidak pernah ambil rasuah. Apa yang saya buat adalah memberi sumbangan kepada masyarakat iaitu dari segi tenaga dan kewangan.

“Saya berpegang kepada konsep ABC iaitu asalkan bukan ‘corrupt’ (rasuah), tidak kira pemimpin daripada parti mana, saya rasa suatu sistem demokrasi yang berfungsi mesti bersandarkan budaya disanjungi semua pihak iaitu bebas rasuah,” katanya.

-Barisan Nasional-