Usaha berterusan bertemu penduduk bagi menyelesaikan pelbagai isu di sekitar Bukit Bintang mengembalikan keyakinan Barisan Nasional (BN) untuk menawan kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Bintang, Ann Tan Ean Ean berkata meskipun kawasan itu merupakan kubu kuat parti pembangkang DAP, beliau yakin usaha berterusan partinya mampu membawa 'keajaiban' berdasarkan maklum balas positif ketika program turun padang.

"Penduduk Bukit Bintang sudah serik dengan wakil rakyat mereka yang tidak turun padang dan 'hilang daripada radar' setiap kali meminta bantuan dan pihak kami terpaksa membantu mereka terutamanya dalam isu-isu kebajikan penjaja.

"Antara isu yang sering dihadapi penduduk Bukit Bintang adalah penjaja pasar, jalan berlubang, longkang tersumbat dan kesesakan lalu lintas yang berjaya kami selesaikan setelah gagal mengesan wakil rakyat mereka," katanya ketika ditemui pada program 'Jom Bersih Bukit Bintang 14' di sini, hari ini.

Tan, 43, berkata beliau sentiasa menyertai program turun padang bersama-sama rakyat, termasuk berkunjung ke kedai kopitiam, medan selera dan pasar basah serta mengambil kesempatan bertemu dengan penduduk di situ bagi memahami masalah mereka.

"Kami masih meneruskan usaha menyelesaikan masalah penduduk meskipun kalah dalam pilihan raya umum lepas dan kami tidak menunggu lima tahun sekali bekerja untuk rakyat," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-13, Fong Kui Lun, 72, memenangi kerusi Bukit Bintang untuk kali keempat dengan majoriti 19,399 undi menewaskan Franklin Gan Jonn Zin daripada BN.

-- Bernama