Atas prinsip demokrasi dan kebebasan, Pemuda MCA mengormati pandangan semua pihak berhubung kenyataan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA pada Jumaat 19 April 2024 yang membuat keputusan tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan sebagai calon.

Pada masa yang sama, Pemuda MCA juga berharap agar semua pihak menghormati keputusan yang dibuat ini, disusuli keputusan sama yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pemuda MCA pada Sabtu, 20 April 2024.

Di samping itu, Pemuda MCA ingin menjelaskan beberapa perkara berhubung isu ini, termasuk ada yang menuduh kononnya MCA kemaruk kuasa untuk bertanding dalam PRK KKB yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mei ini.

PRN 6 NEGERI 2023

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 buah negeri iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu yang diadakan pada 12 Ogos 2023 lalu, MCA telah membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian walaupun ditawarkan bertanding dan hanya berkempen untuk calon-calon Barisan Nasional di enam negeri terlibat. Jika MCA kemaruk kuasa seperti yang didakwa, sudah tentu MCA akan melobi dan bertanding di 6 negeri tersebut. Sebaliknya ia tidak berlaku.

KECELUPARAN DAP

Perlu diingatkan bahawa sejak kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke secara terbuka dan tidak berselindung menghina serta mengguris hati akar umbi MCA dengan pelbagai tuduhan. Beliau dengan angkuh mengatakan bahawa beliau tidak suka MCA dan melabel MCA sebagai parti tauke yang jelas merupakan fitnah berniat jahat memburuk-burukkan MCA.

'Saya tak suka MCA, terus terang saya cakap' - Loke

https://www.facebook.com/reel/420188590594398

Video penuh:

https://www.youtube.com/watch?v=2AhzROqumJ4

Sebelum itu, seorang lagi pemimpin berpengaruh iaitu Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok juga secara terbuka dengan angkuh menghalau MCA keluar daripada BN. Tidakkah ini satu penghinaan kepada BN apabila beliau sewenang-wenangnya mengarahkan sedemikian? Sejak bila DAP berhak menentukan hala tuju BN? Ada juga yang kata calon DAP adalah calon BN. Sejak bila DAP jadi komponen BN?

'Lebih baik MCA keluar BN' - Teresa Kok

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1197840/lebih-baik-mca-keluar-bn-teresa-kok

Kenapa Teresa Kok tidak mendesak Sekretariat Kerajaan Perpaduan supaya mengeluarkan MCA daripada menyokong Kerajaan Perpaduan? Atau Teresa Kok sedar bahawa MCA bukan bergerak sendirian, sebaliknya atas nama BN yang terdiri daripada UMNO, MIC dan PBRS.

ANDAIKAN ANDA BERADA DI TEMPAT KAMI

Realitinya, tindak tanduk pemimpin DAP yang semakin bongkak ini mengguris hati akar umbi MCA. Selepas menghina dengan pelbagai kata-kata nista dan menjengkelkan, adakah akar umbi MCA mahu membantu DAP mempertahankan kerusi KKB? Pemuda MCA yakin, jika ia berlaku kepada mana-mana parti sekalipun, sudah tentu reaksi yang sama akan diberikan.

Tiada siapa rela maruah parti sendiri dipermainkan atau dipijak oleh mana-mana pihak apatah lagi pihak yang wujud semata-mata mahu menggantikan parti kita, melainkan kita dayus dengan tidak melawan.

PERTAHAN DAN KEMBALIKAN KEKUATAN BN

Adakah salah MCA mempertahankan Semangat BN? Telah dinyatakan dengan jelas, MCA hanya tidak turun membantu sekiranya ia bukan calon BN. Ini juga membuktikan bahawa MCA komited dalam usaha mengembalikan kekuatan BN, khususnya di negeri Selangor. Jika bukan parti komponen sendiri yang berjuang mempertahankan BN, kita hendak mengharapkan kepada siapa lagi?

Jatuh bangun kita tetap bersama dalam BN. Masa jadi pembangkang pun MCA dan MIC tak berganjak dan tidak tinggalkan BN. Itu adalah satu bukti semangat setiakawan walaupun ia tidak dihargai oleh sesetengah pemimpin UMNO sehingga menggelar kami sebagai 'biawak hidup'.

Kami tiada halangan sekiranya mana-mana parti mahu membantu DAP dalam berkempen kali ini. Sesiapa pun berhak untuk memikul bendera DAP dan mengusungnya ke mana-mana. Jika MCA hormati hak semua pihak, jadi hormati jugalah hak MCA untuk tidak berkempen, kecuali calon BN ditampilkan dalam PRK KKB kali ini.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
22 April 2024

- Penerangan MCA