22 Ogos 2019

Kenyataan Media Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng

Segerakan pelaksanaan RTS untuk kebaikan semua

MCA menggesa Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyegerakan pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura yang telah ditangguh lebih setahun, dan dimana sebanyak RM2 juta telah dibayar kepada Singapura sebagai kos penangguhan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Projek yang bermakna kepada rakyat ini telah dinanti-nantikan penduduk Johor, terutamanya mereka yang bekerja dan belajar di Singapura.  

Ini kerana penangguhan projek tersebut akan menambahkan beban dan kesusahan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Mereka terpaksa mengharungi kesesakan trafik yang teruk setiap hari, dan terpaksa mengorbankan masa mereka yang sepatutnya diluangkan untuk keluarga ataupun untuk rehat. Oleh itu, MCA berharap Menteri Pengangkutan akan mengambil kira nasib golongan ini supaya kerajaan menyegerakan pelaksanaan Projek RTS.

Kami juga menggesa Menteri untuk turun ke Tambak Johor dan mengalami sendiri kesesakan trafik yang terpaksa dilalui rakyat Johor, dan mendengar keluhan dan aduan mereka.

MCA juga berharap bahawa projek RTS ini dilaksanakan dengan segera dan kami mencadangkan kad khas, seperti MyRapid 100, ditawar kepada pekerja dan pelajar yang mengguna RTS setiap hari demi mengurangkan beban mereka.  

-MCA online-