22 September 2021

Kenyataan media Jurucakap Pemuda MCA, Alex Fong

Persenda negara demi publisiti, DAP buta pengorbanan petugas barisan hadapan

Tindakan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan tentera siber parti itu melemahkan semangat petugas barisan hadapan atau ‘frontliners’ serta mempersendakan negara sendiri melalui lukisan karikatur dan kenyataan media semata-mata untuk publisiti murahan, adalah amat dikesali.

Tindakan DAP memperlekehkan semangat patriotik sekumpulan belia membantu mewujudkan laman web untuk Kementerian Kesihatan (KKM) secara sukarela ini amat keji sekali.

KKM telah melancarkan portal baharu CovidNow, yang dicipta oleh 4 orang belia tanpa mengenakan apa-apa bayaran, bagi mengumumkan data-data penting berkaitan Covid-19, dengan cara yang mudah difahami. Semangat sukarela serta keprihatinan mereka untuk menyumbang kepada negara sepatutnya dipuji, bukannya dicaci.

Kenyataan media Kit Siang tidak konstruktif, sebaliknya hanya mengambil statistik negara jiran secara tangkap muat dan mahukan penjelasan Menteri Kesihatan, YB Khary Jamaluddin. Malah, laman rasmi Facebook DAP melalui karikatur telah memperli dan merendahkan usaha Khairy bersama pasukannya.

Setelah mengambil alih sebagai Menteri Kesihatan, Khairy telah berusaha memantapkan lagi pendekatan membendung pandemik, termasuk memberikan kata-kata semangat secara bersemuka kepada petugas-petugas barisan hadapan di Hospital Kajang. Pengemaskinian laman sesawang dan sistem berkaitan adalah penting kerana ini akan menjadikan informasi dan data yang dikeluarkan oleh KKM secara lebih telus.

Pemuda MCA menuntut Kit Siang memberitahu orang ramai, apakah sumbangannya dalam usaha negara memerangi penularan pandemik Covid-19, selain mengeluarkan kata-kata sindiran dan kecaman serta menyebarkan perkara negatif? Kami berharap DAP dan Kit Siang boleh menyumbang secara konstruktif demi kebaikan negara dan rakyat.

-MCA online-