MCA mengumumkan seorang arkitek, Lee Yee Yuan, 29, sebagai nama calon yang disenarai pendek parti itu untuk bertanding di Dun Sekinchan pada PRU14.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bekas penuntut lulusan Universiti Melbourne itu diketengahkan memandangkan telah lama berkhidmat dalam parti dan komited memberikan perkhidmatan kepada penduduk di Sekinchan.

"Ini senarai pendek untuk membolehkan MCA bergerak dengan lebih cergas di peringkat akar umbi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Surat Khabar Sungai Besar Kini versi Cina di Restoran Golden View, Pekan Sekinchan, hari ini.

Tiong Lai berkata, tujuan MCA menyenaraikan nama itu bagi memastikan calon terbabit bekerja kuat.

"Kita harap calon yang kita hantar (kemukakan) ini dapat restu daripada Presiden BN (Datuk Seri Mohd Najib Razak)," katanya.

Ditanya adakah dengan pengumuman nama calon itu menolak khabar angin kononnya beliau dicadangkan bertanding di Dun Sekinchan, Tiong Lai berkata, beliau berterima kasih atas pencalonan terbabit.

Katanya, dalam politik apa-apa pun boleh berlaku, dan sebagai manusia hanya merancang dan Tuhan menentukan.

"Memang saya beritahu hati saya berada di Sekinchan.

"Saya sayangkan Sekinchan sebab sejak muda lagi saya ada banyak aktiviti di sini, malah  saya prihatin tentang masalah dan perkembangan kemajuan di Sekinchan.

"Saya yakin dengan adanya kerjasama yang baik antara MCA dan Umno, kita boleh jayakan kemenangan calon-calon BN," katanya.

-Sinar Harian-