Terpaksa berkempen dalam tempoh berpantang selepas bersalin  bukan masalah besar bagi Heng Sinn Yee, 40,  untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Cheras pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14,  9 Mei nanti.

Malah, beliau yang juga Ketua Wanita Bahagian MCA Cheras menjadikannya sebagai motivasi untuk terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu.

“Setiap minggu saya akan turun padang untuk melihat masalah penduduk terutama di kawasan perumahan awam dan taman-taman. Saya yakin jika kami sebagai satu jentera bekerja keras, kita (BN) mampu menang,” katanya yang melahirkan anak keempat pada 5 April lepas.

Heng merupakan antara enam  muka baharu yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan untuk bertanding pada PRU ke-14.

Pada PRU ke-13, Tan Kok Wai daripada DAP menewaskan calon  BN Teoh Chee Hooi bagi kerusi  Parlimen  Cheras dengan majoriti 37,409 undi.

Seorang lagi calon wanita iaitu Penolong  Setiausaha MCA Bahagian Seputeh Chan Quin Er  berharap  beliau mampu memberikan tentangan hebat kepada calon DAP yang juga penyandang kerusi Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Pada  PRU ke-13, Kok menewaskan calon BN Nicole Wong dengan majoriti 51,552 undi.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Cawangan Persiaran Kilang, Adnan Abu Seman, 42, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, sokongan di peringkat akar umbi menjadi pemangkin untuknya meraih kemenangan dalam PRU ke-14.

“Saya sedia menggalas tanggunjawab dan saya melihat berdasarkan khidmat bakti yang dibuat oleh BN di Bandar Tun Razak ini dan profil saya sebagai calon anak muda, BN berpeluang untuk menang,” katanya yang juga seorang peguam.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU ke-13 dimenangi Tan Sri Khalid Ibrahim  yang bertanding di bawah tiket PKR,  setelah  menewaskan Tan Kok Eng yang mewakili BN dengan majoriti 11,832 undi.

Seorang lagi muka baharu, Naib Presiden MyPPP Datuk Dr Loga Bala Mohan yang dicalonkan bagi Parlimen Segambut berkata pengalamannya sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan telah membantu beliau memahami isu-isu tempatan.

“Walaupun ini adalah kali pertama bertanding saya akan menggunakan pengalaman saya sebagai timbalan menteri. Namun, saya berhadapan cabaran sengit daripada DAP,” katanya yang sebelum ini dilantik sebagai senator pada 2013.

Kerusi Parlimen Segambut disandang Lim Lip Eng dari DAP selama dua penggal iaitu pada PRU ke-12 dan PRU ke-13.

Dua lagi muka baharu yang diketengahkan BN adalah Ong Siang Liang daripada Gerakan untuk bertanding di Kepong dan Ann Tan Ean Ean daripada  MCA bertanding di Bukit Bintang.

— Bernama