27 Februari 2017

Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal China MCA-Dato’ Sri Chuah Poh Khiang

DAP menonjolkan sikap hipokrit dan dwi-standard mengenai pelaburan China

Ketua Biro Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong mengamalkan dwi-standard apabila ‘bercakap tidak serupa bikin’.

Dahulu Liew Chin Tong sering mengutuk usaha MCA dalam mempereratkan hubungan antara Malaysia dan China dengan tujuan membantu usahawan-usahawan tempatan meluaskan pasaran ke luar negara, sebagai tidak patut. Akan tetapi, Liew nampaknya telah mengubah pendiriannya dalam sekelip mata apabila dia bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mempelawa Duta China ke Malaysia untuk meninjau potensi pelaburan di negeri tersebut, menyerlahkan sikap DAP yang hipokrit dan berubah-ubah. 

Sebelum ini, sekutu DAP, Parti Bersatu Bumiputra Malaysia (PBBM) pernah mendakwa bahawa kemasukan pelaburan China akan menjejaskan periuk nasi rakyat Malaysia dalam cubaan merenggangkan hubungan Malaysia-China, DAP hanya membisu, malah turut mengeluarkan kenyataan untuk mengiyakannya. Tetapi kini DAP telah membuat satu pusingan ‘U’ secara mendadak apabila cuba menonjolkan yang ia menghargai hubungan baik Malaysia-China pula.

Ini menunjukkan bahawa DAP sanggup membuat apa-apa sahaja untuk menyerang dan memfitnah lawannya semata-mata ingin mengaut kepentingan politik. DAP tidak mempunyai prinsip dan sanggup membuat pusingan-U pada bila-bila masa.

Jika kita mengikut logik DAP, apa-apa yang dibuat kerajaan BN adalah salah, dan hanya DAP yang betul. Tindakan mereka ini hanya menonjolkan sikap DAP yang tidak berprinsip yang sering “cakap tidak serupa bikin”. 

Dato’ Sri Chuah Poh Khiang
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal MCA-Republik Rakyat China

-MCA online-