Kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA, Ng Sing Phing (24 Mac 2022)

Bela kebajikan guru, angkat martabat profesion murni

Saya bersimpati dengan nasib guru-guru pada masa kini yang dikatakan terpaksa memikul beban dengan tugas-tugas sampingan seperti tugas pentadbiran, menjadi panitia mata pelajaran, menghadiri mesyuarat yang menjangkau berjam-jam lamanya selepas habis waktu mengajar, mengendalikan aplikasi 'WhatsApp Group' untuk para pelajar dan juga ibu bapa, birokrasi pejabat sekolah dan seumpamanya.

Sebagaimana kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin berhubung 'trend' persaraan awal dalam kalangan guru yang dilihat hampir menyamai kadar guru bersara wajib, saya percaya pihak Kementerian Pendidikan akan memikirkan cara terbaik untuk mengatasi isu ini, khususnya dalam membela nasib para guru.

Sedia maklum, tugasan guru pada ketika ini diwarnai dengan latar keperluan pengajaran dan suasana pentadbiran yang amat mencabar. Apatah lagi dalam era pandemik, ramai guru yang tergugat kesihatan mereka kerana bukan sahaja perlu mengajar dalam talian dari pagi hingga petang, tetapi tugas memeriksa, memantau, merekod, memfail, semuanya perlu dilakukan. Paling menyedihkan, terdapat juga segelintir pihak yang menuduh guru-guru ini hanya 'makan gaji buta' sepanjang tempoh sekolah ditutup akibat pandemik.

Guru adalah tunjang peradaban sesebuah negara, teras pendidikan anak-anak bangsa. Profesion guru yang murni ini sepatutnya dijaga dan diangkat martabatnya, bukan diperlekeh dan dibebani dengan segala macam tugasan yang tidak sepatutnya. Guru adalah golongan yang berilmu. Jika mereka berasa tidak dihargai, sudah tentu mereka akan berasa tawar hati dan ingin bersara awal, sungguhpun perit bagi mereka berbuat demikian kerana kasih mereka pada pelajar serta institusi pendidikan negara.

-MCA online-