Wanita MCA mengalu-alukan enam resolusi Wanita Barisan Nasional (BN) yang digariskan untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai sebahagian manifesto bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Wanita MCA menaruh harapan tinggi agar resolusi ini mendapat perhatian daripada pimpinan tertinggi BN untuk dijadikan sebagai manifesto atau aku janji pada pilihan raya akan datang. Walaupun mungkin tidak diterima secara keseluruhannya, tetapi sekurang-kurangnya ada beberapa resolusi ini yang boleh diterima pakai.

Kami percaya enam resolusi yang dihasilkan ini bertujuan untuk memperkasa dan memperhebatkan kelebihan dan bakat kaum wanita dalam sektor pendidikan, teknologi maklumat, pentadbiran, kebajikan dan agama, keselamatan dan sosial serta ekonomi.

Penghasilan resolusi daripada pandangan dan pendapat Wanita UMNO, MCA dan MIC ini pasti akan memberi keutamaan untuk menjaga kebajikan dan keperluan wanita di negara ini supaya tiada unsur-unsur diskriminasi dan 'anak tiri'.

Resolusi yang dihasilkan untuk dipertimbangkan ialah :

1) Bantuan Khas Pendidikan dan proses pendaftaran yang fleksibel perlu dibuat bagi memastikan anak-anak yang keciciran dapat kembali ke sekolah.

2) Penjenamaan semula projek Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan memperluas bantuan kepada semua pelajar yang memerlukan, iaitu tidak terhad kepada B40 sahaja.

3) Penubuhan Agensi Khas Kewangan Wanita seperti Bank Wanita untuk mengurus kewangan bagi membantu usahawan wanita. Memastikan mirokredit, e-dagang atau 'e-commerce' dan insurans untuk wanita diurus dengan baik.

4) Penubuhan Universiti Wanita untuk memberi penawaran kursus yang relevan dan mewujudkan permintaan tinggi dalam pasaran kerja.

5) Wanita yang mempunyai anak berusia bawah dua tahun diberikan pilihan serta kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi memudahkan urusan penjagaan anak tanpa pemotongan gaji dan elaun.

6) Memohon untuk meminda Perlembagaan Negara agar perkataan 'bapa' dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan, dipanjangkan kepada 'ibu' atau ditukarkan kepada 'ibu bapa' bagi menyelesaikan isu kerakyatan automatik kanak-kanak yang lahir di luar negara.

Datuk Heng Seai Kie
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
15 Ogos 2022