Kenyataan Media Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM)

Latihan pengendalian bot antara Pasukan Elit CRSM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan

Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan telah menganjurkan secara bersama latihan asas dalam pengendalian bot motor serta enjin untuk anggota Pasukan Elit CRSM di zon Pantai Timur. Latihan tersebut telah diadakan di Pulau Rhu, Terengganu di mana seramai 20 anggota Pasukan Elit CRSM telah mengambil bahagian.

Latihan selama dua hari satu malam tersebut berlangsung bermula 20 hingga 21 Mei dengan penyertaan anggota Pasukan Elit CRSM dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang yang berpeluang mempelajari asas mengoperasikan enjin bot motor dan juga kemahiran hidup di hutan.   

Semasa majlis perasmian latihan tersebut, Ketua CRSM Kelantan, Chan Rui Yih dalam ucapannya berkata, matlamat utama aktiviti ini adalah untuk memberi peluang kepada anggota CRSM untuk berlatih menggunakan bot bermotor supaya mereka dapat digerakkan ke kawasan bencana banjir besar dalam masa yang singkat.

“Semasa banjir besar melanda Kelantan sebelum ini, maklum balas yang diterima daripada mangsa adalah bilangan bot yang disediakan agensi kerajaan tidak cukup. Maka CRSM boleh memainkan peranan untuk membantu agensi kerajaan mengatasi masalah ini. Contohnya, apabila banjir melanda, kami boleh membantu menghantar makanan dan barangan kepada mangsa, serta membantu memindahkan mangsa,” ujar beliau.

Dalam masa sama, CRSM juga berhasrat untuk menubuhkan sebuah pasukan atur gerak cepat untuk membantu mangsa di kawasan bencana. Justeru itu, satu siri latihan telah dirangka untuk anggota Pasukan Elit CRSM supaya mereka dapat memainkan peranan efektif dalam membantu mangsa-mangsa banjir dalam tempoh yang singkat, di samping meningkatkan profesionalisme CRSM dalam menghadapi bencana. 

“Ia adalah misi dan tugas sukarelawan CRSM yang tiba awal di kawasan bencana untuk memberi bantuan dan mengumpul maklumat untuk disalurkan kepada agensi kerajaan, dan kemudian melaksanakan bantuan yang seterusnya,” katanya.

Dalam latihan tersebut, beberapa pegawai kanan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan telah mengendalikan kursus dan latihan mengenai pengoperasian bot motor, yang juga merangkumi kemahiran asas seperti pemasangan dan pengendalian enjin. Diharapkan kemahiran ini dapat melengkapkan lagi pengetahuan dan kemahiran anggota Pasukan Elit CRSM dalam menghulurkan bantuan semasa krisis.

Manakala Pengerusi MCA Kelantan, Chua Hock Kuan yang turut bersama semasa majlis pembukaan latihan tersebut berkata bahawa, “semua anggota wajar memiliki pengetahuan dan kemahiran untuk memasang enjin dan mengendalikan bot motor, dan perlu terus menjalani latihan supaya dapat memberi bantuan yang berkesan semasa bencana banjir.”

Latihan tersebut juga memberi persekitaran yang kondusif kepada para peserta untuk berinteraksi dan mempelajari kemahiran yang penting ini. Selain itu, latihan tersebut dapat memupuk semangat persaudaraan antara satu sama lain, yang dapat melicinkan lagi operasi bantuan krisis pada masa hadapan.  

Tambah Chua, setakat ini Pasukan Elit CRSM mempunyai seramai 156 anggota di seluruh negara.

“Latihan pengendalian bot motor ini juga telah dijalankan di zon utara dan zon selatan dalam tempoh 2 bulan lepas, dan ini merupakan latihan ketiga yang diadakan. Latihan juga akan diadakan di zon selatan-tengah dan Lembah Klang. Semua anggota Pasukan Elit CRSM haruslah sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang memerlukannya.”

Berkenaan cuaca panas yang melanda 7 negeri, termasuk Kelantan, dimana suhu setinggi 35 hingga 37 Celcius dicatatkan, Chua berkata bahawa CRSM telah bertindak mengeluarkan amaran kepada semua penduduk. Beliau juga mengulas tragedi di mana kanak-kanak telah meninggal dunia akibat strok haba dan berkata bahawa ini menyerlahkan lagi betapa pentingnya bagi semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya warga emas, kanak-kanak dan juga mereka yang menghidap penyakit kronik.

Chua juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua penduduk supaya minum air yang secukupnya, dan elak berada terlalu lama di luar rumah, khususnya pada waktu tengah hari. Beliau turut menekankan pentingnya memakai topi, cermin mata gelap dan krim pelindung matahari serta memakai pakaian yang tidak terlalu ketat.

“Orang ramai juga harus memberi perhatian kepada tahap kesihatan masing-masing, dan peka terhadap gejala-gejala seperti mudah letih dan pening kepala dengan mendapatkan rawatan segera.”

//TAMAT