Walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata negara tidak berhadapan dengan krisis gula kerana bekalan bahan tersebut berada dalam keadaan terkawal, namun media melaporkan bahawa masih ada beberapa buah negeri yang mengalami masalah tersebut sekaligus menimbulkan kekeliruan rakyat terutamanya di negeri Pulau Pinang.

Lebih menambahkan kekeliruan apabila pihak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan bahawa bekalan gula di Pulau Pinang tidak terputus, namun hanya berlaku sedikit ganguan membabitkan penjualan runcit.

Ketiadaan atau gangguan bekalan gula ini pastinya memberi kesan kepada usahawan kecil seperti penjual kuih dan minuman. Mereka memerlukan bekalan gula ini setiap hari bagi meraih pendapatan harian. Jika bekalan gula tiada, pasti akan menjejaskan pengoperasian mereka.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan dan pihak bertanggungjawab 'bangun dari mimpi yang lena'. Jika keadaan ini terjadi ekoran daripada tindakan orang tengah yang ingin menaikkan harga, membebankan pembeli, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Jika masalah bekalan gula ini berpunca daripada pihak pengilang, notis awal pemberitahuan perlu dilakukan dengan kadar segera supaya keadaan tidak menjadi bertambah rumit. Andai kata pengilang memiliki masalah yang menyebabkan mereka tidak dapat mengeluarkan produk dengan lancar, setidak-tidaknya pemborong, peruncit dan pengguna ada alternatif lain untuk menampung keperluan masing-masing.

Soal manipulasi barangan terkawal juga perlu dipandang serius. Sudah beberapa kali kerajaan menekankan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyorok dan memanipulasikan barangan terkawal, namun hal yang sama tetap berlaku. Adakah amaran yang diberikan oleh kerajaan itu tidak bermakna kepada mereka? Atau kerajaan dan pihak berwajib terlalu 'lembut' untuk bertindak terhadap pihak yang berkaitan kerana turut memberi kepentingan kepada diri sendiri?

Saw Yee Fung
Jurucakap MCA
23 Mei 2023

- MCA Online