Kerajaan Negeri Johor telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan kesihatan melibatkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kekurangan hampir 2,800 staf kesihatan melibatkan penjawatan doktor dan jururawat.

“Adalah menjadi harapan saya agar pihak KKM dapat mempertimbangkan supaya jawatan ini diisi dengan kadar segera bagi menampung keperluan serta menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat di Negeri Johor.

“Saya juga meminta pihak KKM melihat kaedah yang lebih tuntas bagi mengurangkan kesesakan di hospital-hospital di Negeri Johor, khususnya di HSA dan HSI,” tulisnya di Facebook rasminya.

Terdahulu, Onn Hafiz bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan pertemuan bersama Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Norazman Ayub, semalam.

Beliau turut menitipkan doa agar segala usaha ini mendapat kebekatan Allah serta membuahkan hasil demi kesejahteraan Bangsa Johor.

#MediaDigitalJohor