Dr Cheah Toon Lock

Pada Selasa    21-06-2016 18:44:00

Dr Cheah Toon Lock
Pemangku Presiden MCA
Julai 1959 - November 1961

Dr Cheah Toon Lock telah menjadi Pemangku Presiden MCA pada 1959 selepas Tun Dr Lim Chong Eu meletak jawatan. Tugas beliau yang pertama adalah untuk menyatu-padukan parti dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul semasa kepimpinan Tun Dr Lim Chon Eu.

Beliau telah berjumpa dengan Pengerusi Parti Perikatan pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman, untuk menyelesaikan ketegangan yang timbul di antara MCA dan UMNO. Sejurus selepas itu, beliau telah memanggil mesyuarat tergempar MCA dan memutuskan bahawa MCA akan bertanding di bawah panji Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Umum.

Walaupun MCA telah mengalami krisis, tetapi calon-calon MCA masih menerima sokongan kuat dari para pengundi. Dua puluh calon MCA telah berjaya dilantik menjadi ahli Parlimen, dimana 4 daripada mereka dilantik ke Kabinet.

Sumbangan beliau dalam menyelesaikan krisis parti amat penting sekali. Beliau berkhidmat sebagai pemangku presiden untuk 2 tahun. Pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA 1961, beliau tidak bertanding semula, dan telah diganti oleh Tun Tan Siew Sin.