Tan Sri Lee San Choon

Pada Khamis    23-06-2016 15:23:00

Tan Sri Lee San Choon
Presiden MCA Keempat
April 1974 - Mac 1983

Tan Sri Lee San Choon telah giat dalam bidang politik sejak menyertai Pemuda MCA pada umur 24 tahun. Sejak itu, beliau telah mendedikasi hidupnya untuk berkhidmat untuk parti dan rakyat. Beliau telah menjadi ahli Parlimen yang termuda semasa Pilihanraya Umum pada 19 Ogos, 1959 selepas memenangi kerusi Kluang Utara untuk Parti Perikatan. Walaupun kerusi tersebut merupakan kubu kuat parti Fron Sosialis Rakyat Malaysia (Socialist Front) tetapi beliau telah menang dengan majoriti 1,458 undi.

Pada umur 26 tahum beliau telah dilantik Setiausaha Agung Pemuda MCA. Seterusnya, beliau dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Parti Perikatan, dan selepas itu, Ketua Pemuda MCA. Pada 1963, beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Presiden MCA pada ketika itu, Tun Tan Siew Sin.

Beliau telah menjadi pemangku Presiden semasa Barisan Nasional ditubuhkan, dan MCA telah menjadi peranan penting dalam BN untuk membina sebuah Malaysia yang stabil dari segi politik, aman dan harmoni. Beliau juga telah melancarkan 5 projek utama. Beliau menyuarakan pendirian MCA bahawa cadangan penubuhan Universiti Merdeka dan institute-institut pengajian tinggi yang lain. Pendirian beliau adalah bahawa penubuhan Universiti Merdeka memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.   Oleh itu, universiti tersebut haruslah mengikut peruntukan yang menyatakan bahawa bahasa pengantar mestilah Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Cina sepertimana yang dicadangkan untuk Universiti Merdeka. Oleh itu, MCA akan dianggap menipu rakyat jika ia menyokong penubuhan Universiti Merdeka.

Pada 1978, MCA telah menghadapi cabaran semasa Pilihanraya Umum. Pihak pembangkang telah mencetuskan sentimen anti-kerajaan dengan memutar-belit Akta Pendidikan 1961, isu Universiti Merdeka, Akta Penyelerasan Industri dan beberapa pemindaan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. 

MCA hanya memenangi 17 daripada 28 kerusi Parlimen dan 44 daripada 60 kerusi DUN yang ditandingi. Walaubagaimanapun, San Choon telah memenangi kerusi Parlimennya dan telah dilantik sebagai Menteri Pengangkutan. Dalam tempoh ini, beliau telah berjaya menyelesaikan pertikaian MAS mengenai isu bekerja mengikut peraturan (work-to-rule).

Di bawah kepimpinan beliau, MCA telah membuat sumbangan besar dalam membantu masyarakat Cina di bidang politik dan ekonomi. Pada Ogos 1968, Koperasi Serbaguna Malaysia (KSM), yang diilhamkan beliau, telah ditubuhkan. Dalam tempoh 14 tahun sahaja, jumlah keahliannya telah mencecah 100,000 dengan aset yang bernilai berjuta-juta Ringgit.

Pada 1979, isu pengambilan universiti tercetus, dan pada 28 Jun, beliau telah mengetuai satu rombongan MCA untuk berjumpa dengan Tun Hussein Onn. Selepas berunding untuk 4 jam, hasil perjumpaan tersebut adalah nisbah pengambilan universiti ditetapkan pada 55% untuk Bumiputera dan 45% untuk bukan Bumiputera.

Pada 1975, MCA telah melancarkan 5 Projek Utama, iaitu; pembinaan bangunan Wisma MCA, penubuhan dna pembinaan Kolej Tunku Abdul Rahman, penubuhan Multi-Purpose Holdings Berhad, penubuhan Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia, dan kempen keahlian MCA. Kesemua 5 Projek ini menandakan satu kejayaan besar dalam sejarah MCA. Ia menubuhkan asas untuk membolehkan masyarakat Cina menjadi lebih berdikari menghadapi cabaran sosial yang sering berubah. Beliau juga telah melancarkan kempen “Menghormati Orang Tua” untuk menerapkan nilai-nilai baik kepada generasi muda.

Beliau percaya bahawa seseorang mesti bersikap pragmatik dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat Cina. Di bawah kepimpinannya, MCA turut melancarkan Kojadi, syarikat milik negeri (State Holdings Company), Pusat Latihan Kader MCA, Dana Pendidikan MCA dan Pusat Kebudayaan MCA, yang dikenali sebagai fasa kedua 5 Projek Utama.

Di bawah kepimpinan beliau, jumlah keahlian MCA juga bertambah 2 kali ganda dari 200,000 ke 400,000. Dengan ini, MCA telah mengatasi masalahnya yang dihadapi semasa tahun ke-60an melalui pendekatan baru yang lebih berani dalam menangani isu-isu.

Pada Pilihanraya Umum 1982, San Choon telah menyahut cabaran Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, untuk bertanding menghadapinya di kawasan majoriti Cina. Walaupun San Choon telah memilih untuk bertanding di kubu kuat DAP Seremban, yang pada masa itu dipegang oleh Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin, Kit Siang tidak memenuhi janjinya dan telah meninggalkan Dr Chen Man Chin untuk mempertahankan kawasannya. Akhirnya, San Choon telah menang dengan majoriti 845 undi.

Pilihanraya Umum 1982 merupakan satu kejayaan besar dalam perjuangan MCA, dimana MCA telah memenangi 24 daripada 28 kerusi Parlimen dan 55 daripada 62 kerusi DUN yang di peruntukkan. Kemenangan ini membuktikan MCA diberi mandat untuk mewakili masyarakat Cina.  

Pada 25 Mac 1983, beliau telah mengumumkan niatnya untuk bersara. Walaupun diminta berkali-kali untuk meneruskan kerjaya politiknya, beliau telah meletak jawatan sebagai Presiden MCA, Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Seremban pada 1 Mei. Sebagai penghargaan atas jasa-jasanya, MCA telah menamakan dewan di Wisma MCA sebagai Dewan San Choon.

Garis Masa Kehidupan Tan Sri Lee San Choon

24 Mac 1935

Dilahirkan di Pekan, Pahang

1957

Menyertai Pemuda MCA

19 Ogos 1959

Menjadi Ahli Parlimen termuda setelah memenangi kerusi Kluang Utara

1961

Dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Parti Perikatan

1962

Dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA

1963

Dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin

1964

Dipilih sebagai ahli Parlimen Segamat Selatan, dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Buruh. Dilantik sebagai Ketua Publisiti MCA

1969

Memenangi kerusi Parlimen Segamat Selatan. Dilantik ke Kabinet sebagai Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas selepas rusuhan perkauman Mei 13

1971

Dilantik sebagai Menteri Buruh dalam Kabinet baru selepas pemulihan Parlimen berdemokrasi

1972

Dilantik sebagai Timbalan Presiden MCA setelah Tan Sri Khaw Kai Boh meninggal dunia. Beliau juga menjadi Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan dan pemegang amanah Kolej Tunku Abdul Rahman

1973

Dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, dan kemudiannya Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan

8 April 1974

Dilantik sebagai Pemangku Presiden selepas Tun Tan Siew Sin meletak jawatan

Ogos 1975

Dipilih sebagai Presiden MCA, dan dilantik sebagai Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat

1976

Dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dan Kemudahan Awam

Ogos 1979

Dipilih semula sebagai Presiden MCA setelah dicabar Datuk Michael Chen

27 Februari 1982

Dianugerahkan Sijil Kedoktoran Undang-Undang Kehormat oleh Universiti North Carolina Campbell, Amerika Syarikat

22 April 1982

Menyahut cabaran DAP dan bertanding, dan memenangi, kerusi Parlimen Seremban daripada Pengerusi DAP Dr Chen Man Hin

25 Mac 1983

Mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden MCA