23 Jun 2017

Kenyataan Media Presiden MCA YB Dato' Sri Liow Tiong Lai

Liow: Kekalkan Keamanan dan Kesefahaman

Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Musim perayaan ini melambangkan keharmonian, kebahagiaan dan kesucian. Setiap tahun, rakyat Malaysia dari berbilang kaum bersatu atas talian persaudaraan utuh yang menyatukan semua tidak kira bangsa dan agama. Ternyata inilah antara keistimewaan negara kita.

Senyuman yang terukir pada wajah keluarga tercinta dan rakan-rakan tersayang pada bulan ini adalah penyeri kepada sambutan Hari Raya. Marilah kita sama-sama merapatkan hubungan dan kemesraan sesama insan agar nikmat keamanan, kesefahaman dan kemuafakatan antara semua yang dapat dilihat di negara ini akan sentiasa dirasai hingga ke generasi akan datang.

Sebagai sebuah anggota parti komponen utama, MCA nyata komited dalam menyokong usaha progresif dan kesederhanaan yang diterajui oleh Barisan Nasional demi mencipta sebuah Malaysia yang cemerlang untuk Rakyat. Sememangnya, BN mempunyai rekod yang terbukti dalam pentadbiran yang aman dan progresif serta membangkang segala jenis pecah belah antara masyarakat.

Moga bulan Syawal tahun ini membawa berkat kepada semua. Berhati-hatilah di jalan raya dan berehat seketika jika perlu. Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua dan Maaf Zahir Batin.

Dato' Sri Liow Tiong Lai
Presiden MCA
Ahli Parlimen Bentong
Menteri Pengangkutan 

-MCA online-