23 Ogos 2023

Kenyataan Media Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Ir. Lawrence Low

Tangani isu berkait skim INSAN dengan segera dan profesional

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada YAB Dato’ Seri Amirudin Shari atas pelantikan semula beliau sebagai Menteri Besar Selangor, serta portfolio-portfolio lain iaitu Exco Kewangan dan Tindakan Ekonomi; Pembangunan Tanah dan Sumber Alam; Pendidikan; dan Pembangunan Modal Insan.

Namun, di saat kesibukan Pejabat Menteri Besar sedang mula menyusun dan mengorak langkah sejurus berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu, timbul pula satu isu yang disifatkan meresahkan rakyat khususnya rakyat Selangor, iaitu mengenai Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Apa yang meresahkan rakyat Selangor ialah, dakwaan yang mengatakan berlaku kebocoran data peribadi orang ramai apabila seorang individu yang dikatakan telah meninggal dunia telah didaftarkan untuk skim tersebut. Ada juga yang mendakwa nama mereka didaftarkan tanpa kebenaran dan pengetahuan.

Setakat ini, hantaran Facebook (pautan : https://www.facebook.com/fais.alhajari/posts/pfbid02P68d2SVmpFk5amjK4W2ZUWxLRbPz6tpg9HdvDWq6pA1kWzij2afTRd6oFgKaYm4ul ) telah mencapai lebih 800 perkongsian.

Selain itu, timbul juga persoalan berhubung ketelusan syarikat yang mengendalikan skim tersebut. Pendedahan mengenai seorang Exco negeri disebalik syarikat yang diberi projek kerajaan negeri sudah tentu akan membangkitkan kebimbangan wujudnya amalan kronisme, nepotisme, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Amat menyedihkan apabila pemimpin berkenaan yang juga pemimpin DAP menjawab isu yang dibangkitkan rakyat secara kasar dan tidak beradab.

https://www.facebook.com/tengchangkhimpage/posts/pfbid02fnVpvG6Hq4HTbNHStiWSHApMeyrsWtbFjBHYashcbggxCaLe9aFrrCgV6rCyNvUYl

Bagi menjernihkan keadaan, saya mencadangkan;

1. YAB Menteri Besar atau pihak Kerajaan Negeri segera memberi penjelasan kepada rakyat Selangor. Segera nafikan jika ia tidak benar, demi menjaga imej baik Kerajaan Perpaduan.

2. Menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci secara bebas dan adil.

3. Jangan sesekali mengenakan hukuman atau tindakan yang tidak wajar atau zalim kepada rakyat yang bertanya, melainkan dakwaan mereka berniat jahat seperti fitnah dan seumpamanya.

Sebagai rakyat Selangor, saya juga menanti penjelasan dan berharap isu ini segera ditangani dengan profesional demi kepentingan rakyat Selangor, seterusnya dapat meredakan keresahan awam.

-MCA online-