Kementerian Pengangkutan akan membentangkan hala tuju seterusnya dasar kabotaj negara ke Kabinet, bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pembentangan itu dibuat selepas pihaknya menerima ulasan daripada semua kementerian dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengimbangi usaha membina kapasiti industri perkapalan tempatan, meningkatkan keupayaan dalam sektor perkhidmatan domestik dan mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing.

"Kita juga mesti memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin dengan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia," katanya pada sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mengulas isu pembatalan pengecualian dasar kabotaj bagi kapal asing sebelum ini, Ka Siong berkata, kapal asing yang terbabit dengan pembaikan kabel dasar laut masih diberikan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) untuk beroperasi di perairan negara.

"Ini dibuktikan dengan kelulusan 10 DSL kepada dua kapal asing yang sama bagi tempoh Disember 2020 sehingga Ogos lalu, malah kelulusan DSL sudah diberi dalam tempoh tiga hari berbanding lima hingga tujuh hari sebelum ini ketika pengecualian berkenaan masih berkuat kuasa," katanya.

Menyentuh isu pekerja tempatan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), beliau berkata, sehingga Ogos lalu, seramai 2,827 pekerja tempatan terbabit dalam pembinaan projek ECRL, iaitu 44 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja pada masa ini merangkumi 6,415 pekerja.

"Jumlah ini akan terus meningkat seiring kemajuan fizikal projek yang mana keperluan tenaga kerja maksimum diperlukan dalam tempoh kemuncak kerja-kerja di tapak iaitu pada 2022 dan 2023," katanya.

Berkenaan isu pemandu mabuk, Ka Siong berkata, kementerian sudah meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) melaksanakan kajian keberkesanan ke atas semua langkah intervensi yang dijalankan pelbagai pihak.

"Ini bagi menangani isu memandu di bawah pengaruh bahan terlarang, memandangkan pindaan Rang Undang-Undang 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)) itu sudah dikuatkuasakan hampir setahun.

"Kajian juga akan mengesyorkan lain-lain langkah intervensi dan kaedah boleh dilaksanakan bagi menangani isu pemandu mabuk pada masa hadapan," katanya.

Menjawab isu lori kontena dari Thailand yang tiada insurans diberi kelonggaran pergerakan menghantar kontena ke depoh kontena dalam Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Ka Siong berkata, pihaknya sedia mengkaji secara terperinci cadangan itu.

"Perlu dilihat kesesuaian untuk kita menimbangkan permohonan ini atau ada kaedah lain boleh dilaksanakan memandangkan perkara ini membabitkan tindakan timbal balik dari pihak Thailand, kesan kepada syarikat tempatan dan aspek keselamatan kepada orang ramai.

"Sebarang langkah penyelesaian atau kaedah penambahbaikan akan dibuat secara holistik dan seimbang demi kepentingan semua pihak," katanya sambil memaklumkan pertimbangan itu diperinci selepas ada depoh kontena termasuk di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam terletak melebihi jarak dua kilometer (km) asal yang dibenarkan.

Ka Siong menjelaskan, tiada kelulusan diberi untuk menubuhkan aerodrom bagi Projek Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) seperti diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.

-Berita Harian-