YB Lim Guan Eng,

Ingin saya bertanya, tergamakkah tuan menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat, sebagai senjata untuk menjatuhkan musuh politik, malah sanggup mengorbankan pelajar-pelajar yang tidak berdosa, semata-mata untuk membalas dendam politik terhadap MCA? Tindakan ini bukan sahaja membelakangi amanah rakyat, tetapi juga telah mengkhianati pelajar-pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KU TAR) serta ibubapa mereka!

Saya mengajak semua pihak supaya mengenali wajah sebenar Lim Guan Eng yang sangat mengerikan, di samping menyeru kepada seluruh pelajar institusi TAR (ITAR) serta mereka yang kecewa dengan tindakan tuan, supaya bangkit dan menyatakan pendirian yang tegas.

Perlu ditekankan bahawa bangkit bukan kerana pendirian politik, tetapi untuk mendesak tuan sebagai Menteri Kewangan supaya berfikir dua kali, janganlah membunuh ITAR yang selama ini telah banyak berjasa melahirkan cerdik pandai untuk negara dan masyarakat Cina. MCA tidak pernah memanggil ITAR sebagai ITAR MCA, malah tidak pernah menyebarkan fahaman pilitik kepartian di ITAR, atau memperalatkan ITAR bagi tujuan propaganda politik, kerana MCA sentiasa memisahkan pendidikan daripada politik. Tetapi tuan telah sengaja membuat tuduhan palsu terhadap MCA dan menggunakan ITAR sebagai senjata.

Tahukah tuan bahawa orang ramai bebas membuat carian di internet, dan tidak susah untuk mendapatkan laporan tentang janji tuan dalam banyak ceramah politik sebelum pilihan raya umum ke-14, bahawa ITAR tidak akan dianiayai sekiranya Pakatan Harapan berkuasa, tetapi hari ini tuan telah mengingkari Lim Guan Eng ketika itu, dengan terus menetak ITAR dalam pembentangan Bajet pertama tuan. 

Di Tangkak pada 4 Mei, akhbar melaporkan bahawa Lim Guan Eng memberikan ‘ubat penenang’ kepada masyarakat Cina, dengan janji bahawa PH apabila berkuasa nanti tidak akan menutup KU TAR, serta PH berikrar untuk menjadi kerajaan baik yang akan ‘buat kerja rakyat, dengar cakap rakyat serta memberikan harapan kepada rakyat’.

Tuan atau Lim Guan Eng ketika itu juga berjanji bahawa ‘sekiranya PH menang PRU, kerajaan baru akan menghargai cerdik pandai dan memastikan KU TAR terus berfungsi dan melahirkan lebih ramai cerdik pandai’; dan di Kampar, Perak pada 5 Mei pula, Lim Guan Eng tersebut sekali lagi berkata bahawa sekiranya berkuasa, PH akan menjaga pelajar-pelajar ITAR dengan baik, serta “ada orang kata, kalau PH berkuasa pelajar ITAR akan menderita. Jangan bimbang, kita akan jaga mereka dengan baik tanpa mengira latar belakang politik, kerana ramai di antara wakil rakyat kita adalah lulusan ITAR,”

Hari ini,  segala kata-kata Lim Guan Eng ketika itu menjadi bukti tuan bercakap bohong, lantaran kemajuan internet yang telah merekodkan segala perlakuan tuan.

Demi mendapatkan kuasa pemerintahan, tuan sanggup berpeluk-pelukan dengan musuh besar yang pernah menyumbat tuan serta bapa tuan, Lim Kit Siang ke dalam penjara; tetapi ITAR yang tidak pernah mempunyai hutang darah dengan tuan, terkena pula tetakan pertama selepas tuan berkuasa.

Beingatlah tuan, atau Lim Guan Eng,

Pelajar ITAR tidak akan selamanya berdiam diri, kerana sekiranya bermula tahun ini peruntukan pentadbiran ITAR adalah sifar, maka tidak mungkin peruntukan akan diberikan lagi untuk tahun-tahun seterusnya; kami tidak akan membiarkan Lim Guan Eng mengaburi mata rakyat, pelajar ITAR tidak akan sanggup menderita ketidakadilan ini. Ramai di antara pemimpin dan penyokong DAP serta keluarga mereka terdiri daripada lulusan ITAR, setujukah mereka dengan tindakan tuan yang tidak munasabah ini?

Nicole Wong Siaw Ting
Ketua Pemuda MCA

-MCA online-