9 Oktober 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng

Kaji semula PSP untuk jadikannya lebih komprehensif 

Mekanisme subsidi bersasar petrol yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah pengguna, malah seakan menghina rakyat , di samping mengalih perhatian daripada janji mereka sebelum ini untuk menurunkan harga petrol kepada RM1.50 seliter.

Program Subsidi Petrol (PSP) jauh lebih kurang daripada apa yang diharapkan, dan juga mengabaikan penduduk Sabah dan Sarawak yang tidak menerima apa-apa pampasan. Oleh itu, PSP nampaknya telah hilang tujuan asalnya, dan juga meluaskan lagi jurang di antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Lebih-lebih lagi, bantuan RM12 bagi motosikal dan RM30 bagi kereta dianggap terlalu sedikit, dan menganggap rakyat sebagai pengemis, kerana jumlah bantuan yang diberikan tidak cukup bagi pemilik kenderaan.

Selain itu, PSP juga tidak mengendahkan golongan M40. Ini kerana skim subsidi ini sudah tentu akan menyebabkan harga barangan naik, dan ini secara langsung akan meningkatkan kos sara hidup golongan B40 dan M40.

Tindakan mengabaikan Sabah dan Sarawak juga mengecewakan penduduk kedua-dua negeri tersebut, lebih-lebih lagi apabila negeri-negeri itu merupakan pengeluar minyak terbesar di Malaysia. Selepas gagal menepati janji 20% royalti minyak, sekarang pula kerajaan PH enggan memberi subsidi petrol.

Apa telah terjadi kepada janji harga petrol RM1.50 seliter jika Pakatan Harapan menjadi kerajaan? Adakah rakyat akan berpuas hati dengan bantuan sedikit ini, apatah lagi apabila harga barangan bakal meningkat susulan dasar kerajaan yang lemah.

Oleh itu, kerajaan digesa mengkaji semula subsidi petrol ini, dengan mengalu-alukan pendapat pakar dan melibatkan rakyat supaya sebuah program subsidi petrol yang lebih adil, komprehensif dan merangkumi semua lapisan masyarakat dapat dilaksanakan.

-MCA online-