Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) kembali menghangatkan pentas politik negara.

Pelbagai pihak melontarkan pandangan dan pendapat masing-masing, dan tidak kurang juga yang menuding jari ke arah pihak lain untuk selamatkan tembolok sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar segera menjalankan siasatan berhubung pendedahan kepincangan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dan jika terdapat bukti kukuh, mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.

MCA menyambut baik keputusan yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini agar siasatan terperinci dapat dijalankan segera sekaligus menemui jawapan untuk segala persoalan.

MCA turut berharap agar tiada 'double-standard' dalam pelaksanaan hukuman isu ini, kerana ia melibatkan aset negara. Siapa juga yang terlibat, tidak kira latar belakang individu tersebut, hukuman setimpal perlu dikenakan sekiranya didapati bersalah.

MCA turut berpandangan agar pesalah-pesalah yang terbukti menebarkan fitnah berhubung isu ini turut diheret ke muka pengadilan. Ini kerana perbuatan memfitnah boleh membangkitkan kemarahan rakyat dan mungkin boleh mengakibatkan perbalahan antara kaum.

Namun, persoalan yang bermain ketika ini, kenapa PH begitu beriya-iya terhadap isu ini sedangkan kita semua tahu pada Oktober 2018, bekas Timbalan Menteri Pertahanan PH, Liew Chin Tong sendiri telah merasmikan peletakan Lunas (keel laying) LCS TLDM ke-4.

Mustahil beliau tidak tahu apa yang telah berlaku. PH yang tangguh dan bekukan projek, PH juga yang tanya kenapa tiada serahan kapal selewat-lewatnya 2021?

Kenapa sekarang ini Chin Tong nak menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN)? Adakah ini satu lagi episod drama yang cuba dibawa oleh PH/DAP menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti?

Kenapa semasa PH menjadi kerajaan dahulu, tidak diselesaikan masalah ini?

Kenapa bila sudah jadi pembangkang, PRU semakin hampir, barulah PH nak tunjuk hero?

MCA menggesa agar siasatan terhadap skandal ini tidak ditangguhkan dan jika perlu, Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) juga perlu ditubuhkan.

Ini dapat membuktikan bahawa pemimpin BN yang didakwa terlibat dengan skandal ini tidak takut untuk disiasat dan didakwa sekiranya benar didapati bersalah.

Mike Chong Yew Chuan
Jurucakap MCA
11 Ogos 2022