Malaysia naik dua anak tangga kepada kedudukan 22 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) Pusat Daya Saing Dunia.

“Malaysia adalah satu-satunya ekonomi (di Asia Tenggara) yang mencatatkan kenaikan dua anak tangga, dipacu oleh pemulihan kukuh prestasi ekonomi, khususnya perdagangan antarabangsa,” menurut kumpulan penyelidikan yang berpangkalan di Switzerland itu dalam kenyataan semalam.

Lima negara teratas yang paling berdaya saing di dunia kekal seperti pada 2017, namun kedudukan itu berubah.

Amerika Syarikat kembali ke tangga pertama dari kedudukan keempat tahun lepas, didorong terutamanya oleh prestasi ekonomi dan infrastruktur yang kukuh.

Kedudukan itu diikuti Hong Kong, Singapura, Belanda dan Switzerland.

Singapura yang tidak berubah di kedudukan ketiga, secara global, mengekalkan rankingnya dalam kalangan ekonomi di Asia Tenggara dengan disokong kecekapan kerajaannya yang mapan.

Bagaimanapun, menurut IMD, negara itu “terus akan dijejaskan oleh paras hutang swasta yang lebih tinggi dalam ekonomi dan had harga yang tinggi, terutama dari segi hartanah, yang mengurangkan kualiti hidup dan tarikan bakat.”

Selain Malaysia, Jepun (di tangga ke-25), Korea Selatan (ke-27) dan India (ke-44) menunjukkan sedikit peningkatan.

Negara Asia yang mengalami penurunan kedudukan ialah Taiwan (ke-17), Thailand (ke-30) dan Indonesia (ke-43).

Filipina terjejas paling ketara di rantau ini, apabila turun ke tangga 50 daripada kedudukan kesembilan disebabkan antaranya penyusutan sektor pelancongan dan pekerjaan, kewangan awam yang semakin teruk dan kebimbangan kian meningkat terhadap sistem pendidikan.

“Negara dari rantau ini yang mengalami penurunan tahun ini, kecuali Taiwan, semuanya menunjukkan tanda-tanda keperluan untuk menambah baik infrastruktur ketara dan saintifik,” kata IMD.

IMD Pusat Daya Saing Dunia menerbitkan ranking tahunan itu sejak 1989.

Tahun ini, ia memberi tanda aras bagi prestasi 63 negara berdasarkan lebih 340 kriteria yang mengukur aspek daya saing yang berbeza.

-Barisan Nasional-