MCA menggesa kerajaan di bawah teraju Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar menjelaskan pengiraan yang dilakukan dalam mengumumkan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Naib Pengerusi Wanita MCA Ong Chong Swen dalam kenyataan hari ini berkata, terdapat percanggahan besar antara jumlah hutang negara yang diumumkan Dr Mahathir berbanding yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ong berkata pengiraan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) penting kerana rating kredit negara akan terjejas dengan jumlah hutang negara, yang seterusnya menjejaskan keyakinan pelabur.

"Sehingga 22 Mei tahun ini, BNM menyatakan hutang kerajaan berjumlah RM705.104 dalam laporannya. Namun perdana menteri baru-baru ini mendakwa hutang negara melebih RM1 trilion. Saya menggesa kerajaan menjelaskan angka ini kerana terdapat perbezaan ketara di antara kedua-duanya.

"Jumlah hutang negara akan menjejaskan rating kredit negara. Sekiranya terdapat kekeliruan, pelabur asing akan hilang keyakinan dan akan menjejaskan kestabilan ekonomi negara," katanya.

Dr Mahathir Isnin lalu mendakwa hutang negara melebih RM1 trilion dan Malaysia berdepan beberapa masalah membayar hutang berkenaan.

Menurutnya, jumlah itu sangat jauh berbeza berbanding hutang negara satu ketika dulu yang hanya berjumlah RM300 bilion.

Jumlah yang disebutkan Dr Mahathir itu turut disahkan Kementerian Kewangan Lim Guan Eng semalam yang turut menambah bahawa angka itu akan diteliti semula.

Kementerian Kewangan sebelum ini berkata kerajaan merekodkan hutan RM687.43 bilion setakat September 2017.

Sementara itu, The Edge Financial Daily melaporkan perbelanjaan berlebihan menyebabkan hutang negara meningkat pada kadar 10 peratus setahun daripada RM266.72 bilion pada 2007 kepada RM687.43 bilion 10 tahun kemudian.

-Malaysiakini-