24 Mei 2018

Kenyataan Media Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie

Wanita MCA gesa kerajaan Pakatan Harapan tunai janji 30% menteri wanita

Wanita MCA menyokong sepenuhnya langkah NGO Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dalam menggesa kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan negeri untuk menunaikan janji mereka bagi memastikan sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita dalam Jemaah Menteri dan jawatan membuat keputusan.

Ia jelas tertera dalam Buku Harapan di bawah Komitmen kelimanya: Mendemokrasikan sistem politik bagi mewujudkan lebih ramai pemimpin wanita, iaitu “memastikan sekurang-kurangnya 30% pembuat dasar adalah wanita”.

Akan tetapi, kami kesal bahawa dalam pengumuman pertama menteri-menteri Kabinet oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, hanya 3, atau 12% daripadanya wanita, iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Dato’ Seri Wan Azizah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.

Oleh kerana senarai penuh Jemaah Menteri belum lagi diumumkan, Wanita MCA berharap agar PM dan kerajaan PH baharu, akan melantik lebih ramai menteri wanita dalam pengumuman seterusnya, bagi n memastikan lebih ramai wanita terbabit dalam proses membuat dasar dan diarusperdanakan dalam pembangunan negara.

Mengikut Perdana Menteri PH , akan terdapat 25 menteri, jadi, bagi memastikan Pakatan Harapan memenuhi janjinya untuk melantik 30% wanita pembuat dasar, maka Jemaah Menteri harus mengandungi sekurang-kurangnya 7 orang menteri wanita.

Dengan itu, Wanita MCA menggesa kerajaan pusat baharu untuk berpegang teguh kepada janjinya dan komited untuk memperkasakan status politik wanita, ke arah mencapai visi kesaksamaan gender.

Datuk Heng Seai Kie
Ketua Wanita MCA

-MCA online--