23 Ogos 2019

Kenyataan Media Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng

Jawatankuasa Khas digesa memberi keutamaan kepada projek RTS

MCA menggesa Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil kira pelaksanaan semula projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura sebagai salah satu penyelesaian efektik kepada kesesakan trafik yang semakin serius.

Justeru itu, MCA menggesa kerajaan mengambil contoh negara-negara maju yang berorientasikan pengangkutan awam, pembangunan mampan dan pengunaan tenaga hijau.

Bagi tempat yang mempunyai jumlah trafik yang tinggi seperti Tambak Johor, pengangkutan rel dilihat sebagai satu penyelesaian yang baik kerana memiliki kapasiti penumpang yang tinggi, tempoh masa perjalanan yang pendek dan sering menepati masa. Pengangkutan rel juga lebih selamat dengan kadar kemalangan yang rendah. Oleh itu, ia diharapkan bahawa Perdana Menteri akan mengetepikan perbezaan politiknya dan mengkaji semula penyambungan projek RTS Johor-Singapura demi kebaikan rakyat.

Ia dijangka bahawa apabila RTS dibuka, ia mampu mengangkut sebanyak 10,000 penumpang sejam, sekaligus mengurangkan jumlah kenderaan yang menggunakan Tambak Johor dan menyelesaikan masalah kesesakan trafik. Ini berbanding pengangkutan rel jarak pendek KTM sedia ada yang menghubungkan Johor Bahru Sentral dengan Woodland yang mampu menumpang 300 penumpang sejam.

Kami percaya bahawa jika RTS dilaksanakan seiring dengan penambahbaikan prosedur imigresen dan kastam, kesesakan trafik mampu diatasi.

Oleh itu, kami berharap bahawa penyambungan projek RTS akan diberi keutamaan. Lebih-lebih lagi apabila tempoh penangguhan selama satu tahun akan berakhir pada 30 September ini, di mana kerajaan terpaksa membayar lagi pampasan RM200 juta kepada Singapura jika kerajaan Pakatan Harapan enggan meneruskan projek tersebut.

-MCA online-