24 September 2018

Kenyataan Media Jurucakap Publisiti MCA, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker

Pemimipin BN Haruslah Berhemahkata, Bukannya Dijadikan Ayam Sabung

MCA menyarankan agar pemimpin-pemimpin parti komponen BN bersabar, berhemah dan berwaspada apabila berhujah secara terbuka demi memelihara persahabatan, silaturahim dan setiakawan yang telah dipupuk oleh pemimpin-pemimpin Perikatan dan Barisan Nasional selama ini. Janganlah kita terlalu emosi sehingga dijadikan “ayam sabung” dalam arena jerat pihak lawan.

Dalam suasana di mana BN mengalami kekalahan yang tipis dan mula meretak, tidak perlulah kita bertindak-balas secara keterlaluan, bertindak-balas terlampau emosional atau melatah apabila menjawab atau membalas kenyataan terbuka pemimpin berdasarkan laporan media khususnya dalam portal atau mediasosial yang tidak bersekutu dengan kita.

MCA kesal melihat kecenderungan segelintir pemimpin yang berkecenderungan untuk melatah dan beremosi ayam sabung yang dilagakan dalam arena media politik semata-mata kerana gagal atau tidak bijaksana untuk mendapat penjelasan konteks sebenar kenyataan yang dibuat. Bertindak secara “ganas” tanpa soal siasat dan tidak berhemah kata sehingga membinasakan segala persahabatan politik yang telah dipupuk oleh pemimpin-pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan adalah kurang bijak.

Merujuk kepada kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenai kerjasama Umno-PAS, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa tidak harus bertindakbalas secara “keterlampauan” dan menyerang Presiden MCA secara peribadi sebelum mendapat penjelasan konteks kenyataan atau dengan hanya berdasarkan laporan portal semata-mata.

MCA memahami segala kerjasama parti-parti pembangkang termasuk Umno, PAS, MCA, MIC dan sebagainya adalah atas kerjasama dan gandingan politik berdasarkan “solidariti pembangkang” untuk semak dan imbang kuasa dan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. MCA sendirinya membuka dada bekerjasama dengan semua parti pembangkang berlandaskan prinsip ini atas pragmatisme barisan pembangkang.

Namun begitu, apabila berhadapan dengan persoalan andaian Umno berkerjasama dengan PAS atas prinsip perkauman yang ekstrim atau  keagamaan yang “keterlampauan” tanpa menghormati semangat keserderhanaan dan harmonis politik yang menjadi pegangan dan amalan BN selama ini , Presiden MCA telah mengulas pendirian MCA bahawa ini akan membawa kepada dua senario politik yakni :

Pertamanya, semangat keserderhaan dan tolak-ansur amalan kepelbagaian Barisan Nasional akan dengan sendirinya terbantut, terbatal atau berakhir. Ini akan membawa kepada pembubaran Barisan Nasional.

Keduanya, MCA tidak akan menarikdiri dari BN oleh kerana MCA memegang pada falsafah tolak-ansur dan kesederhaan amalan BN. Maka MCA akan tetap mempertahankan falsafah politik dan perjuangan BN dengan keputusan untuk kekal menegakkan perjuangan majmuk BN. Sekiranya Umno melanggar atau bercanggah dengan prinsip BN, ini bermakna Umno sebagai parti komponen BN boleh dipecat dan anggota komponen parti boleh teruskan perjuangan BN dengan mencari dan menjemput parti-parti politik lain yang bersetuju dan ingin bersama-sama menegakkan perjuangan majmuk dan keserderhanaan politik amalan BN.

Kemungkinan yang ketiga ialah pemimpin-pemimpin dikalangan barisan pimpinan UMNO sendiri seperti bekas pengerusi perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan membantah kerjasama yang ekstrim atau radikal dan keluar parti untuk bersama perjuangan BN.

Kesemua ini cuma adalah ulasan politik yang akademik semata-mata. Kalau amalan politik pragmatik Tun Mahathir boleh menerima kerjasama politik bersama DAP yang menjadi musuh ketat berdekad, tidak mustahil tokoh pemimpin seperti Dato Seri Anwar Ibrahim mahupun Tun Dr. Mahathir akan kembali memimpin BN yang tiada cacat-cela dari segi falsafah dan perjuangan politik dalam konteks politik kepelbagaian.

Maka MCA menasihati pemimpin-pemimpin BN janganlah terperangkap dengan politik polemik dan akademik sehingga memecah rahsia dan etika politik.  MCA juga ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin BN supaya memegang pada prinsip dan etika bahawa segala perbincangan dalaman parti di peringkat jawatankuasa tertinggi haruslah dihormati, dipelihara dan bukannya dijadikan alat atau peluru rambang dalam arena lawan perangkap atau jerat musuh yang sengaja melagakan kawan.

Jangan pula kita ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar!

-MCA online-