Prospek perniagaan, pekerjaan dan pembangunan baharu bakal muncul di kawasan seluas 108,000 hektar yang meliputi Nilai, Seremban hingga ke Port Dickson itu, sekali gus melengkapkan pembangunan Lembah Klang.

Bagi pemimpin muda dari negeri ini, DATUK CHONG SIN WOON, 43, pembangunan tersebut bakal mengubah landskap ekonomi negeri dan menyediakan peluang kepada generasi muda tempatan mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan dan dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua baru-baru ini, berkongsi dengan Wartawan Utusan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN tentang harapan dan pandangannya terhadap pembangunan ekonomi serta komuniti di negeri kelahirannya itu.

UTUSAN:Boleh kongsikan latar belakang hidup Datuk?

CHONG SIN WOON: Saya dilahirkan di Seremban dan dibesarkan di Nilai. Saya membantu perniagaan bapa menjual surat khabar. Dulu kita kena buat ba­nyak kerja untuk menampung pendapatan keluarga, malah saya juga pernah menoreh getah.

Bagaimanakah perubahan yang berlaku di Nilai pada hari ini?

Dulu Nilai umpama ‘pekan koboi’. Kebanyakan guru yang mengajar di sana tinggal di bandar Seremban. Selepas pukul 8 atau 9 malam sudah sunyi, udara lebih segar, sejuk dan kena pakai beberapa lapis baju untuk ke sekolah pada waktu pagi.

Bagaimanapun perubahan besar berlaku di Nilai bermula tahun 90-an dengan pertumbuhan kawasan perindustrian, banyak kilang-kilang dibina hasil pelaburan dari Jepun dan Taiwan. Nilai kemudian menjadi bandar satelit dengan pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Nilai hari ini menjadi hab pendi­dikan dan banyak universiti di situ antaranya Nilai University, Inti International University, Universiti Sains Islam Malaysia dan Manipal University.

Apakah pandangan Datuk terhadap pembangunan yang rancak di negeri ini?

Bagi saya pembangunan 30 tahun yang dibuat kerajaan ne-geri di bawah MVV yang meliputi kawasan dari Nilai, Seremban hingga ke Port Dickson sangat bagus. MVV tidak hanya menjurus kepada pembangunan perumahan atau bandar tetapi termasuk hutan simpan yang besar, seolah-olah Central Park di New York.

Lokasi negeri ini sangat strategik kerana kedudukannya di tengah-tengah Kuala Lumpur dan Melaka.

Walaupun rancak membangun tetapi kehijauan alam sekitar dijaga dan kos hidup juga rendah di negeri ini. Perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri paling sesuai untuk dihuni.

Sebagai pemimpin muda, bagaimanakah bentuk pemba­ngunan yang Datuk ingin lihat di negeri ini?

Paling penting adalah melaksanakan pembangunan seimbang dan meneruskan konsep meng­utamakan kualiti hidup rakyat.

Sebagai rakyat negeri ini saya tidak mahu korbankan kualiti hidup dan alam semula jadi kepada pembangunan yang membuta tuli.

Saya lihat kerajaan negeri mempunyai pandangan jauh dalam perkara ini termasuk me­ngazetkan semua kawasan tadahan air. Negeri ini mempunyai keluasan tanah rizab yang besar walaupun negerinya kecil.

Apakah persiapan yang perlu ada dalam diri generasi muda di negeri ini untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang?

Mereka kena melihat jauh dan tidak perlu berhijrah untuk mencari pendapatan lumayan. Sebagai contoh kalau bekerja di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM3,000 atau RM4,000 mereka mungkin menjadi golongan miskin bandar, lebih-lebih lagi jika sudah berkeluarga. Saya rasa ada pekerjaan yang cukup dengan kualiti hidup lebih baik di negeri ini.

Yang penting mereka perlu celik komputer dan kreatif. Tidak perlu mengikut jejak langkah generasi sebelum ini yang kena pergi pejabat, bergaji tetap. De­ngan adanya internet, kerja boleh dilakukan di mana-mana. Mereka juga boleh mencipta pekerjaan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Apakah perkara yang perlu diberi keutamaan oleh masyarakat pada hari ini?

Pendidikan perlu diberi ke­utamaan kerana ia merupakan cara untuk mengubah nasib keluarga, komuniti dan negara. Miskin bukan alasan untuk seseorang mengabaikan pendidikan. Mungkin pendidikan tidak menjamin pendapatan lumayan pada masa sekarang tetapi ia boleh mengubah seseorang menjadi manusia berguna untuk hadapi cabaran hidup.

Salah satu cabaran negara kita adalah untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara kaum. Pandangan Datuk?

Semasa di sekolah saya berkawan dengan pelbagai kaum.Apabila ada perayaan kita saling mengunjungi rumah kaum lain. Itu adalah kehidupan sebenar orang Malaysia.

Apabila orang luar datang, mereka kagum melihat keharmonian yang dijalin.

Bagi saya, sekolah terutama sekali peringkat menengah masih lagi pusat kepada pertemuan pelbagai kaum.

Sebab itu amat penting pergaulan antara kaum di sekolah untuk menjamin Malaysia terus aman dan harmoni.