21 Ogos 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Dato’ Ong Chong Swen

Pakatan harus berhenti mencari alasan atas kegagalan menunaikan janji mereka

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Dewan Negara semalam menyatakan “monopoli-monopoli yang degil”  sebagai punca kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji untuk menurunkan harga barang walaupun telah melaksanakan kadar GST 0%.

Pakatan Harapan wajar berhenti mencari alasan dan mengalih kesalahan kepada pihak lain. Sebagai kerajaan baharu, mereka patut mengambil langkah proaktif menangani masalah harga barang yang tidak turun, atau berhenti membuat janji-janji kosong yang tidak mampu dilaksanakan. 

Sekarang, kerajaan harus bertanggungjawab atas keputusan mereka untuk memansuhkan GST yang diakui Guan Eng sendiri sebagai lebih menyeluruh berbanding dengan SST. Malah, beliau sendiri juga mengakui bahawa SST mempunyai banyak ketirisan dan kelompangan yang bakal menurunkan pendapatan negara.

Pakatan Harapan harus menangani masalah kenaikan harga untuk prihatin kepada kebajikan rakyat, dan bukan mengelak tanggungjawab.

Sekarang Pakatan Harapan mahu bawa balik SST dan pada masa yang sama turut melaksanakan cukai soda dan meningkatan cukai gula. Ini merupakan satu langkah ke belakang dan Pakatan Harapan perlu bertanggungjawab jika harga barangan tidak turun, dan bukan menyalahkan pihak lain.

Keputusan Dewan Negara meluluskan RUU Cukai Perjualan dan RUU Cukai Perkhidmatan adalah kerana senator-senator BN sedar apa-apa penangguhan mampu menjejaskan keadaan ekonomi negara jika berpanjangan. Oleh itu, kami mngambil keputusan demi kebaikan masa depan negara.

Senator Dato’ Ong Chong Swen
Naib Pengerusi Wanita MCA

-MCA online-