MCA yakin parti itu akan mendapat undi orang Melayu dan India pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong berdasarkan kepada aktiviti serta penyaluran bantuan tanpa mengira kaum yang dilaksanakan selama ini.

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu memperjuangan keharmonian kaum sejak ditubuhkan pada tahun 1949 dan bukan berasas kepada satu bangsa semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan pihak tertentu yang mengatakan MCA tidak akan mendapat undi orang Melayu tanpa sokongan daripada Umno dan PAS.

“Kami sebuah parti bebas dan boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda sama dalam memperjuangkan keharmonian kaum,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan MCA PKR DUN Balakong, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Liow menerima kunjungan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melakukan lawatan ke bilik operasi tersebut.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas dan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon MCA, Tan Chee Teong dan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki.

Pada pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas, Ng menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

-Bernama-