Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng menegaskan, Guan Eng malah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menjelaskan sama ada surat kelulusan yang tersebar tersebut sahih ataupun sebaliknya.

“Jika ya, maka kedua-dua mereka telah menipu rakyat, jika tidak, mereka harus melaporkan isu ini kepada polis dengan segera kerana terdapat pemalsuan nama dan tandatangan Perdana Menteri.

“Apa sekali pun, jawapan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mendedahkan kelemahan dari segi ketelusan dan integriti, ketidakcekapan prosedur dalam kelulusan projek, kekurangan maklumat, kos tinggi yang bakal dikenakan dan tiada sikap kebertanggungjawaban kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini tersebar dalam media sosial salinan surat mendakwa dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan mengenai projek pembinaan bangunan guna sama persekutuan Kota Bharu, Tunjong di Kelantan secara rundingan terus.

Menurut kandungan surat itu, dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan bersetuju supaya syarikat PDM Builders Sdn. Bhd. dilantik secara rundingan terus bagi melaksanakan projek tersebut dengan harga tawaran sebanyak RM450 juta.

Sementara itu, Teik Cheng berpandangan, projek tersebut harus disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.

“Sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji bahawa semua kontrak kerajaan akan diberi melalui tender terbuka namun pemberian kontrak bernilai RM450 juta telah melanggar janji tersebut,

“Lebih mengecewakan lagi, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan enggan bertanggungjawab dan masih mendakwa tidak tahu akan isu tersebut,” katanya.

-Utusan Online-