Presiden MCA, Wee Ka Siong membantah keputusan Kementerian Kewangan menyalurkan RM40 juta ke tabung amanah pendidikan Persatuan Alumni TARCian (TAA).

Wee di Facebook mempersoalkan tatacara kerajaan menyalurkan dana yang bertujuan untuk institusi pendidikan.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, pada sidang akhbar bersama TAA, mengumumkan pemindahan peruntukan itu kepada tabung amanah tersebut untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KU TAR) dan pelajar-pelajarnya.

Presiden TAA, Yap Kuak Fong berkata lembaga tabung amanah itu akan bekerja rapat dengan pengurusan KU TAR bagi memastikan geran itu diuruskan dan diagihkan dengan wajar.

Wee hari ini berkata sekiranya peruntukan itu memberi manfaat kepada para pelajar, maka MCA tidak akan mempersoalkan sumber dana itu buat masa ini.

“Namun, apa yang berlaku ialah RM40 juta berkenaan tidak disalurkan kepada pihak pengurusan KU TAR sebaliknya diberikan kepada entiti luar,” katanya.

Beliau berkata selama 50 tahun lalu, kerajaan membiayai perbelanjaan pembangunan dan operasi KU TAR menerusi belanjawan tahunan bawah Kementerian Pendidikan.

Dalam Belanjawan 2019, menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM5.5 juta untuk KU TAR menerusi kementerian itu.

Tetapi Malaysia mencipta rekod baru dengan “peruntukan operasi” RM40 juta yang disalurkan ke Tabung Amanah Pendidikan TAA, katanya.

“Ini kerana, peruntukan operasi dan pembangunan kepada sebuah institusi pendidikan kini terletak bawah bidang kuasa 2 kementerian berasingan.”

“Adakah Kementerian Kewangan melangkau bidang kuasanya dengan mengatasi Kementerian Pendidikan? Menteri Pendidikan Maszlee Malik tidak mahu kata apa-apa tentang perkara ini?”

Wee menambah peruntukan RM40 juta itu tidak terkandung dalam Belanjawan 2019 dan dan bukan dari Kementerian Pendidikan mahupun Kementerian Kewangan.

“Tidak ada dinyatakan tentang peruntukan nominal Kementerian Pendidikan, mahupun untuk peruntukan operasi KU TAR.

“Adakah pengeluaran wang pembayar cukai sebanyak RM40 juta ini tidak mematuhi protokol atau tatacara standard (SOP)?”

Lim dan pemimpin MCA berbalah mengenai geran sepadan untuk KU TAR. Beliau berhujah institusi pendidikan itu tidak patut dikawal oleh parti-parti politik dan ahli-ahli politik.

-Free Malaysia Today-