13 Mac 2020

Kenyataan media Pengerusi Biro Komunikasi & Diplomasi  Antarabangsa MCA Dr Tee Ching Seng

Ancaman keselamatan Covid-19 tidak konvensional, segera bentuk Jawatankuasa Membendung Wabak rentas kementerian

Setelah terbentuknya Kabinet baharu, kerajaan Perikatan Nasional mestilah menjadikan membendung penularan wabak tugas pertamanya. Wabak koronavirus (Covid-19) yang tular sekarang telah membawa impak yang begitu besar terhadap ekonomi, masyarakat dan politik negara ini, mengakibatkan negara berdepan dengan ancaman kesihatan tidak konvensional. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan Covid-19 sebagai pandemik dunia. Oleh itu, Perdana Menteri digesa supaya segera membentuk serta mengepalai Jawatankuasa Membendung Wabak Covid-19, bagi menyelenggara langkah-langkah perlu, bagi melaksanakan dasar-dasar dan tindakan-tindakan rentas kementerian secara lebih berkesan dan pantas.

Ini merupakan satu peperangan menentang wabak berskala global. Kerajaan mestilah menganggap ia sebagai perkara besar yang paling penting dan patut ditangani dengan segera, dengan berusaha sedaya upaya untuk menjayakan kerja-kerja membendung wabak. MCA mengalu-alukan tindakan kerajaan baharu menghentikan eksport topeng muka, melarang pelabuhan feri mewah, melarang pelancong dari kawasan yang teruk dilanda wabak memasuki negara dan lain-lain langkah.

Ancaman Covid-19 kini telah menjadi krisis manusia sejagat dalam survival dan pembangunan. Ia tidak mungkin boleh diselesaikan oleh satu atau dua unit perubatan malah satu atau dua negara. Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama semua negara dalam memformulasikan bersama dasar-dasar yang berkesan untuk berdepan dengan krisis ini.

Jawatankuasa Membendung Wabak Covid-19 amat sesuai untuk menyelenggara segala kerja membendung wabak. Ini akan memendekkan proses rentas kementerian seterusnya membolehkan kerja-kerja membendung wabak dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan. Oleh itu, kerajaan mestilah segera bertindak ke arah ini.

-MCA online-