17 Mac 2020

Kenyataan media Pengerusi Biro Komunikasi & Diplomasi  Antarabangsa MCA, Dr Tee Ching Seng

Larang eksport, kawal pengeluaran dan agihan topeng muka, penuhi keperluan orang ramai

Kerajaan digesa supaya segera melarang eksport topeng muka serta segala barangan berkaitan pencegahan penularan wabak, di samping meletakkan cecair pembasmi kuman sebagai barangan kawalan, mewajibkan pengilang, peniaga serta pengimport barangan pencegahan wabak melaporkan kepda Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) kos, harga, kuantiti dikeluarkan, kuantiti diimport dan sebagainya, kerana hanya dengan mengawal bekalan dari titik pengilangan, barulah pengagihannya dapat di buat dengan lancar dan berkesan.

Semalam, negara telah memasuki fasa pembendungan lewat (late containment), kita tidak ada lagi masa untuk berlengah-lengah. Kerajaan mestilah mengambil langkah-langkah drastik bagi mengawal bekalan barangan berkaitan dengan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Semenjak wabak menular di Wuhan, China pada Januari lalu, negara sudah mengalami kekurangan topeng muka. Walaupun kerajaan China melarang eksportnya selepas itu, yang merupakan sebahagian import Malaysia, kerajaan Pakatan Harapan tetap membiarkan topeng muka keluaran negara ini dieksport, menyebabkan masalah kekurangan yang semakin teruk di pasaran.  Kerajaan Perikatan Nasional sekarang wajar mengharamkan eksport topeng muka dengan serta-merta, di samping mengawal bekalan dan pengagihannya secara berpusat melalui app khas.

Laporan 14 Februari memetik KPDN berkata, 4 pengeluar topeng muka tempatan mampu menghasilkan kira-kira 627,142 keping topeng muka (jenis 3 lapis untuk kegunaan perubatan) sehari. Kami mencadangkan supaya KPDN mengambialih pengagihannya, dengan mengutamakan hospital-hospital dan petugas-petugas barisan hadapan. Kerajaan juga patut mengagihkan kuantiti yang konsisten setiap hari dengan harga yang munasabah kepada peruncit-peruncit terpilih. 

Berikut adalah cadangan app bagi mengendalikan pembekalan, penjualan dan penggunaan topeng muka secara berpusat:

1.Kerajaan mengawal bekalan topeng muka dan mengagihkannya kepada hospital dan pusat penjagaan, di samping membekalkan kuantiti yang tetap kepada peruncit terpilih, setiap hari.

2. Kerajaan melantik farmasi-farmasi yang mempunyai cawangan di seluruh negara sebagai peruncit terpilih, bagi menjual topeng muka dengan harga berpatutan, tidak melebihi satu harga maksimum yang ditetapkan.

3. Melalui app tersebut, orang ramai dapat mengetahui titik jualan serta stok yang ada, sebelum membeli dengan mendaftarkan nama asal serta mengemukakan kad pengenalan atau passport. Dicadangkan juga jumlah pembelian dihadkan kepada 7 setiap minggu. Namun kuantiti ini perlu mengambilkira stok yang ada dalam negara ketika ini.

Sistem berpusat ini boleh menghindarkan pembelian berlebihan, lambakan dan harga tidak berpatutan. Lebih penting, setiap individu akan mempunyai peluang sama rata untuk melindungi dirinya. Hanya dengan campurtangan kerajaan, barulah kegiatan menjual topeng muka palsu secara di talian serta anasir-anasir jahat yang berkaitan dapat dihapuskan. Malah kerajaan juga akan mampu mengetahui jumlah jualan, jumlah stok serta taburannya dengan serta-merta, ini akan melicinkan lagi tugas kerajaan dan memberikan keyakinan kepada rakyat.

KPDN tidak perlu tunduk kepada para pembekal atau pengilang yang menganggap harga maksimum yang ditetapkan terlalu rendah. Sekiranya kos bertambah akibat harga barang mentah naik, kerajaan boleh pertimbangkan untuk menaikkan harga maksimum ini. Kami difahamkan pengeluar-pengeluar bahan mentah di China sudah kembali beroperasi dan negara itu sudah mula mengeksport topeng muka.

Selain membendung kegiatan mengambil untung berlebihan oleh peniaga atau pengilang, KPDN juga perlu membendung kegiatan melambak topeng muka sebagai barangan kawalan serta memastikan para pengilang mematuhi prosedur operasi standard pengilangan dan tiada eksport haram dilakukan.

-MCA online-