22 September 2021

Kenyataan Media Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan

Bukankah DAP pernah kata, “biar RUU 355 lulus dulu”?

Memang pelik apabila DAP mendesak MCA dan MIC untuk menyatakan pendirian sebelum mereka memutuskan pendirian parti sendiri.

Walaupun Ahli Parlimen DAP Segambut, YB Hannah Yeoh menggesa MCA dan MIC untuk menyatakan pendirian terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021, namun beliau dilihat seakan teragak-agak untuk membuat perkara yang sama terhadap partinya sendiri, mahupun terhadap Pakatan Harapan.

MCA mengulangi pendirian kami yang tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang iaitu; Setiap bahagian undang-undang haruslah dikemaskini dan diperbaiki supaya ia selaras dengan perkembangan masyarakat pada masa ini, dan semua pindaan yang dibuat haruslah selari dengan prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, dan juga selaras dengan semangat demokrasi, kesederhanaan dan toleransi antara kaum. Ia tidak harus menghakis hak asasi individu, tidak kira sama ada individu itu beragama Islam atau bukan Islam.

Selain itu, MCA ingin mengingatkan YB Hannah Yeoh mengenai pendirian DAP pada tahun 2015, di mana Setiausaha Agung DAP YB Lim Guan Eng sendiri yang menjawab “biarlah ia lulus dulu” apabila dipersoalkan mengenai RUU 355. Malah pada tahun 2020, Naib Presiden AMANAH, Dr Siti Mariah pernah secara terbuka menggesa PAS untuk membentangkan RUU 355 di dalam Parlimen, dengan alasan kerana Pakatan Harapan bukan lagi kerajaan.  

Adakah dua contoh ini masih menggambarkan pendirian DAP dan PH? YB Hannah Yeoh disaran cermin partinya dan komponen-komponen PH terlebih dahulu sebelum meminta penjelasan daripada parti lain.

-MCA online-