Keceluparan pemimpin tertinggi DAP yang berterusan menghina parti MCA menyebabkan akar umbi terguris dan tidak sanggup dikerah untuk membantu kempen bagi memenangkan calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Pelbagai kata-kata cacian dilemparkan kepada MCA dengan penuh kebencian dan kini demi undi, DAP mahu MCA bantu memenangkan calon mereka? Bagaimana MCA mahu menjelaskan kepada akar umbi supaya membantu pihak yang menyerang, mengutuk, menghina dan memperlekehkan parti kami?

Sepertimana kata Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, "Semasa diperlukan, 'pijak semut tak mati'. Semasa tidak diperlukan, diludah dikahak sesuka hati." Bayangkan jika ini berlaku kepada parti lain, adakah wujud istilah 'berjiwa besar'?

Justeru, MCA Selangor berharap semua pihak dapat memahami fakta dan realiti ini, serta tidak terperdaya dengan naratif salah yang dimainkan oleh segelintir pihak yang cuba memburuk-burukkan MCA, parti komponen Barisan Nasional (BN).

Dalam masa sama, MCA Selangor menegaskan bahawa seluruh jentera parti tidak akan diaktifkan sepanjang tempoh berkempen PRK Kuala Kubu Bharu ini seiring dengan keputusan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang dibuat pada 19 April baru-baru ini, sekiranya BN tidak meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Datuk Ir. Lawrence Low
Naib Presiden MCA
Pengerusi MCA Selangor
25 April 2024

- PENERANGAN MCA