Kementerian Pendidikan Malaysia tidak merancang untuk menghentikan operasi sekolah sebagai usaha menyelesaikan isu buli di peringkat sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, buli tidak boleh diselesaikan dengan melihat secara kes demi kes, oleh sebab itu pihaknya sentiasa menjalankan mesyuarat dan permuafakatan melibatkan ibu bapa , pihak polis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurutnya, peratusan murid terlibat dalam salah laku buli yang direkodkan sistem sahsiah diri murid bagi  tempoh 2012 hingga 2016 adalah terkawal dengan trend menurun dari 0.08 peratus kepada 0.06 peratus.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun 2017, sebanyak 0.02 peratus murid terlibat dalam gejala tersebut.

Di Sabah hanya 0.019 peratus murid terlibat pada 2016 dan 0.003 peratus pada pertengahan 2017.

"Berdasarkan rekod sistem pengurusan isu disiplin dan pendidikan, tiada kes yang melibatkan kematian akibat perbuatan buli dalam kawasan sekolah sepanjang tempoh 2012 hingga sekarang,"katanya.

Katanya, kes buli di sekolah secara relatif sangat kecil namun kementerian tidak pernah memandang ringan.

"Hukuman keras seperti rotan dan buang sekolah adalah langkah akhir bagi menjaga ketenteraman sekolah," katanya.

-Sinar Harian-