Kerajaan mengkaji pengurusan bakat dalam memastikan rakyat mempunyai kemahiran dan kecekapan seiring sasaran negara yang memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 pakar data dan 2,000 saintis data menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, bagi mengubah ekonomi Malaysia pada masa hadapan, terdapat persaingan lebih sengit yang bukan hanya dihadapi negara maju, malah negara membangun.

Katanya, profil tenaga kerja berubah seperti pengurus data dan saintis, pemaju perisian dan pakar analisis yang memerlukan kemahiran berbeza daripada kebanyakan pekerja perindustrian pada masa kini.

Menurutnya, untuk berjaya dalam persaingan, syarikat bukan saja perlu menyelaraskan penggunaan automasi, robotik dan teknologi pintar, tetapi perlu menutup jurang kemahiran dengan mengekalkan tenaga kerja serta membentuk kumpulan bakat digital.

“Proses pembuatan dan teknologi pintar bukan saja mengurangkan kos, tetapi meningkatkan kecekapan dan kita faham tidak mudah bagi syarikat beralih ke era baru pembuatan maju ini.

“Peralihan utama dalam struktur dalaman dan proses operasi organisasi akan mencabar, tetapi transformasi diperlukan kerana realitinya ialah menjelang 2050, hampir semua industri dari perbankan hingga ke pembuatan mengintegrasikan automasi dan robotik digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Rangkaian Perbekalan Wilayah Utara di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Bayan Baru di sini, semalam.

-Harian Metro-