Laporan penuh  kes kemalangan bas ekspres di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh yang menyebabkan 14 maut dan 16 cedera pada Disember tahun lalu, telah dibentang di Parlimen pada 1 Mac lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata analisa komprehensif telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) yag merangkumi empat aspek utama iaitu keadaan jalan dan persekitaran, pembinaan dan reka bentuk bas, operasi bas dan penguatkuasaan.

“Laporan tersebut sudah siap dan menunggu kelulusan Kabinet untuk dihebahkan kepada orang ramai yang ingin mengetahui apakah hasil siasatan tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Yahya Mat Ghani mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan penumpang bas terjamin berikutan kekerapan berlakunya kemalangan bas ekspres.

Liow berkata penambahbaikan dalam empat aspek utama tersebut telah dikenal pasti dan pihaknya komited untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan bas awam di negara ini serta mengambil pengajaran dari pelbagai insiden yang berlaku di jalan raya.

Menurutnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga telah menganjurkan Makmal Kerja Transformasi Bas Ekspres yang bermula 20 Feb hingga 7 April lalu sebagai satu daripada usaha menambah baik operasi bas ekspres di negara ini.

“Laporan kemalangan di Pagoh, Johor juga diguna pakai sebagai rujukan utama dalam menggariskan transformasi industri bas di Malaysia,” katanya.

Kemalangan kira-kira 3.30 pagi itu melibatkan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Liow ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yoo Wei How berkata, penggunaan tayar kitar semula bagi kenderaan berat hendaklah memenuhi standard daripada SIRIM bagi mengelakkan sebarang insiden kemalangan di jalan raya.

Beliau berkata kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya melakukan pemantauan terhadap kilang-kilang yang mengeluarkan tayar kitar semula.

“Pemantauan dilakukan di lebih 60 kilang yang mengeluarkan tayar kitar semula di negara ini, dan dalam pemantauan tersebut, kami dapati ada beberapa kilang yang menjalankan operasi tanpa mematuhi standard yang ditetapkan oleh SIRIM.

“Tindakan akan diambil terhadap mereka…orang ramai juga dinasihatkan membeli tayar kitar semula yang mematuhi siri standard atau cop SIRIM bagi mengelakkan risiko kemalangan di jalan raya,” kata Liow.

Yoo sebelum itu meminta kementerian menyatakan mekanisme untuk memantau penggunaan tayar kitar semula bagi kenderaan berat di jalan raya.

— Bernama