Kedudukan terkini rizab antarabangsa negara berada dalam keadaan kukuh dengan jumlah RM423.2 bilion dilaporkan sehingga 14 April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong berkata, paras rizab tersebut mencukupi untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

“Di peringkat antarabangsa, kedudukan rizab itu diperakui memadai sekira­nya mampu membiayai sekurang-kurangnya tiga bulan import tertangguh dan 1.0 kali hutang luar negeri jangka pendek,” katanya ketika sesi soal jawab di sidang Dewan Negara, hari ini.

Jelas Chee Leong, ri­zab antarabangsa bukan sumber utama yang digunakan oleh negara untuk meme­nuhi obligasi luarannya.

Malah, kata beliau, pada ketika ini, rizab antarabangsa hanya me­rangkumi 24 peratus daripada nilai jumlah aset luaran, manakala aset luaran bank dan syarikat sedia ada mampu membiayai sekitar 80 peratus daripada hutang luar negeri yang sepadannya.

“Kadar pertukaran yang fleksibel turut mengurangkan kebergantungan negara pada rizab antarabangsa bagi menampan obligasi luaran,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Chee Leong, peningkatan rizab itu didorong oleh lebihan imbangan perdagangan dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan.

Selain itu, kata beliau, rizab antarabangsa juga dijangka me­ningkat dengan pasaran mata wang ringgit yang stabil kerana akan meningkatkan pelabur a­sing untuk membawa aliran ma­suk dana dalam negara.

“Kedudukan rizab stabil ini telah meningkatkan daya tahan ekonomi dan keupayaan Malaysia untuk berhadapan dengan cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memantau kedu­dukan rizab antarabangsa de­ngan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan paras rizab itu kekal mencukupi untuk menjadi penampan bagi memenuhi obligasi luaran.

-Utusan Malaysia-