Sambil menyifatkan kenya­taan itu mengelirukan, Setiausahanya, Tang Heap Seng berkata, penduduk negeri ini melihat sendiri bagaimana kemusnahan teruk berlaku terhadap hutan di Bukit Relau dan Teluk Bahang akibat kerakusan pembangunan.

Malah ujar beliau, ekoran pen­cerobohan kawasan hutan itu juga, penduduk negeri ini kini terpaksa berdepan bencana banjir lumpur setiap kali selepas hujan iaitu kejadian yang tidak pernah dialami mereka 10 tahun lalu.

“Pencerobohan hutan juga bu­kan sesuatu yang rahsia lagi selepas pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Penang Forum dan Penang Hills Watch beberapa kali memuat naik gambar kemusnahan bukit di laman web mereka.

“Memang Bukit Relau dan Te­luk Bahang misalnya adalah tanah persendirian, tetapi itu tidak bermakna Kerajaan DAP Pulau Pinang boleh mengambil kesempatan dan melepaskan diri daripada kemusnahan ala mini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata, negeri ini merupakan satu-satunya negeri yang hutan simpannya tidak seinci pun disentuh sejak 2006 hingga 2015.

Menurut Heap Seng, Kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai maklumat berhubung kawasan hutan yang diceroboh sama ada di atas tanah persendirian dan berkuasa menghalangnya mene­rusi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Malangnya kata beliau, kerajaan negeri tidak menunjukkan­ kesungguhan menghalang pen­cerobohan itu sehingga dilihat seolah-olah memberi kebebasan kepada pemaju meneroka hutan tersebut.

“Malah, sehingga kini juga ti­dak nampak kesungguhan ke­rajaan negeri dalam membaik pu­lih Bukit Relau atau Bukit Botak yang kemusnahannya jelas boleh dilihat dari atas Jambatan Pulau Pinang meskipun selepas bertahun-tahun isu itu dibangkitkan,” katanya.