MCA menyeru kerajaan supaya mempertimbangkan semula pemberiangeran kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Setiausaha Agung MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, ini penting untuk membantu pelajar miskin atau kurang berkemampuan meneruskan pendidikan di2 institusi itu.

Chew juga berkata, syarat yang dikenakan Menteri Kewangan supaya 2 institusi pendidikan tinggi swasta itu dipisahkan daripada parti politik untuk mendapat geran juga adalah tidak munasabah.

"MCA dan kedua-dua institusi itu adalah seperti 'ibu dan anak' yang tidak dapat dipisahkan selepas penubuhannya sehingga mendapat status universiti kolej pada tahun 2013.

"Pemberian peruntukan ini sepatutnya diberi sama rata seperti institusi lain yang telah diumumkan akan mendapat geran kerajaan itu untuk berlaku adil kepada semua pihak," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan (AGM) Wanita MCA ke-43 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie.

Geran itu penting kerana kedua-dua institusi itu bergantung kepada peruntukan yang diberikan kepada mereka setiap tahun oleh kerajaan berjumlah antara RM30 juta dan RM60 juta untuk turut menampung kos operasi

Pada masa yang sama, beliau juga mencadangkan satu akta diwujudkan supaya semua institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh masyarakat Cina yang tidak berorientasikan keuntungan mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Seramai 1,040 perwakilan hadir di AGM itu yang bermula semalam dan yang pertama kali diadakan selepas pemilihan MCA pada awal November.

Dalam pemilihan Wanita, daripada 31 jawatan dipertandingkan bagi sayap itu termasuk ketua, timbalan ketua, 4 naib ketua, 25 ahli jawatankuasa pusat pergerakan itu menang tanpa bertanding, sekaligus menyaksikan Heng sekali lagi mempertahankan jawatan ketua Wanita MCA.

-Bernama-