MCA mengalu-alukan kenyataan Lim Kit Siang semalam bahawa DAP akan keluar daripada kerajaan sekiranya matlamat “Malaysia Baru” tidak tercapai.

Naib Presiden MCA Ti Lian Ker, bagaimanapun berkata “Malaysia Baru” perlu diberi definasi terlebih dahulu.

“Pertama, kita mesti gariskan apa itu Malaysia Baru, nilai teras dan asasnya. Bagi kebanyakan pengundi, Malaysia Baru akan mengetepikan semua parti berasaskan kaum,” katanya hari ini.

Semalam, Lim berkata, pemimpin DAP dalam kerajaan akan membantu “selamatkan Malaysia”, tetapi memberi amaran DAP tidak akan teragak-agak keluar daripada pakatan tersebut sekiranya matlamat Malaysia Baru dipinggirkan.

“Pemimpin DAP, sama ada yang berada dalam kerajaan atau di luarnya akan meninggalkan kerajaan PH jika objektif Malaysia Baru dipinggirkan,” kata Lim.

“Pemimpin DAP tidak akan sesekali menjadi dayus seperti pemimpin MCA,” kata Lim.

Ti yang merujuk PPBM berkata parti Melayu itu ditubuhkan untuk “merapatkan jurang Umno” dengan mengambil penyokong Umno menyertainya.

Katanya, parti itu yang keahliannya untuk Bumiputera sahaja, berjanji yang akhirnya menjadi parti bukan perkauman.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang dalam Malaysia Baru adalah Pribumi (PPBM) sedang mengambil alih dari Umno dan memperkukuhkan dominasinya dengan mengambil perkongsian yang banyak dalam kerajaan baru itu,” kata Ti, merujuk spekulasi bahawa ramai pemimpin Umno akan menyertai PPBM.

Beliau mendakwa PPBM mempromosikan “Ketuanan Melayu” sebagai ideologi utamanya, sambil menambah tiada tentangan langsung daripada DAP.

“Kalau ini bukan mengabaikan idealisme Malaysia Baru, apakah lagi maknanya?” katanya.

Ti menyifatkan DAP sebagai “dayus” kerana membisu berkaitan isu-isu seperti projek kereta nasional ke-3 dan pilihan raya kerajaan tempatan.

“MCA akan terus bertanggungjawab untuk bersuara dan menjadi suara pihak minoriti dalam mempertahankan hak mereka di bawah perlembagaan,” katanya.

DAP, katanya, patut meyakinkan PPBM supaya berpegang kepada janji berkaitan Malaysia Baru.

-Free Malaysia Today-