5 April 2020

Kenyataan media Ketua Wanita MCA Dato’ Heng Seai Kie

Pakej Ransangan Ekonomi harus meliputi insentif usahawanita dan industri rumah untuk suri

Wanita MCA mengalu-alukan tindakan kerajaan membentuk jawatankuasa Kabinet khas untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi . Bagaimanapun , diharap agar pakej ransangan yang dirancang turut meliputi insentif menggalakkan usahawanita serta industri rumah .

Ini penting agar kaum wanita yang merupakan separuh dari penduduk negara turut dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara, selepas serangan wabak Covid-19 .

Seperti yang kita sedia maklum , ramai wanita di Malaysia sanggup melepaskan kerjaya dan memilih untuk menjadi suri rumah bagi menguruskan rumah tangga setelah berkahwin. Namun akibat serangan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan , menurut pakar ekonomi , sekurang-kurangnya 30%  daripada syarikat atau kilang akan tertutup, ramai yang akan  menganggur dan kehidupan keluarga  mereka tentu akan terjejas .

Sehubungan itu , menggalakkan kaum wanita bekerja terutamanya bekerja dari rumah merupakan perancangan strategik , agar suri rumah , dan suami atau anak yang menganggur sementara dapat turut membantu dalam industri rumah bagi menjana pendapatan tambahan demi menampung sara hidup  keluarga dalam tempoh yang sukar dan penuh mencabar ini.

Berhubung bidang industri rumah yang boleh diceburi , selain daripada industri- industri tradisi yang lazim seperti makanan dan "catering" , kraftangan  pembungkusan dan lain lain  Wanita MCA ingin menggalakkan agar kaum wanita mengambil peluang menyertai e-dagang kerana ia sesuai , "flexible" dan boleh diusahakan di rumah sambil menguruskan rumah tangga .

Bah perpatah "krisis boleh ditukar kepada peluang" , wabak COVID-19 yang melanda  telah membuka mata kita dan memandang serius  terhadap peluang dan mekanisme e-dagang yang telah merobah cara dan saluran masyarakat berbelanja, terutamanya potensi dan peluang pembelian secara atas talian serta perkhidmatan penghantaran jarak dekat. Maka inilah peluang keemasan kaum wanita bekerja separuh masa dan menjana pendapatan demi membantu mengurangkan beban keluarga.

Wabak telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara dan menjejaskan kehidupan keluarga . Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, e-dagang menjadi pilihan terbaik golongan wanita untuk bekerja dari rumah kerana modal asas diperlukan amat kecil ,  dengan risiko rendah .

Oleh itu , kerajaan sepatutnya memberikan galakan, termasuk menyediakan latihan, pinjaman dengan faedah rendah atau sifar, tarif cukai, elaun pembelian komputer serta lain-lain insentif bagi menggalakkan penglibatan ramai dalam e-dagang khususnya wanita atau suri rumah.

Selain itu, Wanita MCA juga berharap kerajaan turut memberi perhatian kepada isu penglibatan wanita dalam pekerjaan, terutamanya kaum ibu tunggal. Seperti yang kita sedia maklum , penjagaan anak-anak serta orang tua di rumah merupakan dua faktor utama yang menghalang wanita daripada keluar bekerja. Oleh itu, demi membolehkan wanita yang berkemampuan dan berkeinginan untuk menceburkan diri ke bidang pekerjaan,   diharap kerajaan dapat menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan seperti elaun taska dan   penjagaan orang tua kepada yang berkaitan .

Wanita merupakan tonggak keluarga serta separuh dari tenaga kerja negara. Segala usaha  pemulihan ekonomi negara tentunya akan lebih berjaya dengan adanya penyertaan aktif kaum wanita.

-MCA online-