26 Mei 2017

Kenyataan Media Setiausaha Organisasi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pulau Pinang Dr Tan Chuan Hong

Phee Boon Poh harus membangkitkan isu penyalahgunaan kuasa Guan Eng di DUN Pulau Pinang demi menjamin keadilan

Saya menggesa Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh yang bersemangat mengutuk tindakan rasuah supaya menyokong usul BN dan meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng meletak jawatan dan memberi laluan kepada Exco Chow Kon Yeow untuk menjadi Pemangku Ketua Menteri semasa dia disiasat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian rumah banglonya. Beliau masih boleh memegang jawatan KM semula sekiranya dia didapati tidak bersalah.

Selepas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati bahawa Guan Eng telah menyalahgunakan kuasanya pada tahun lepas atas pembelian sebuah rumah banglo di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran daripada Phang Li Koon, Phee Boon Poh dan pemimpin-pemimpin DAP Pulau Pinang yang lain sepatutnya meminta Guan Eng mengambil cuti.

Saya ingin mengingatkan Phee Boon Poh bahawa pemimpin-pemimpin DAP sentiasa bercakap bahawa mereka mengamalkan demokrasi berparlimen, dan bahawa pemimpin-pemimpin mereka tidak teragak-agak meletak jawatan demi menjamin ketelusan. Jadi, mengapakah DAP sekarang berdiam diri apabila terdapat satu kes yang melibatkan Ketua Menteri mereka?

Sebelum ini, DAP sentiasa menggesa pemimpin-pemimpin BN untuk meletak jawatan walaupun tiada bukti untuk menyokong tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilemparkan DAP. Akan tetapi, mereka mengambil tindakan yang berbeza apabila ia melibatkan Guan Eng. Adakah DAP kini mengubah pendirian mereka?

Kami berasa risau bahawa jika kes ini dibawa ke mahkamah, dan Guan Eng masih kekal sebagai Ketua Menteri, pegawai-pegawai kerajaan negeri mungkin akan tertekan dan teragak-agak bekerjasama dengan mahkamah untuk menyampaikan bukti. Akan tetapi, jika DAP mengamalkan kebebasan kehakiman sepertimana yang dilaung-laungkan, Guan Eng patut mengambil cuti sehingga kes mahkamah selesai demi memastikan perbicaraan yang adil.

Selain itu, terdapat banyak persoalan mengenai projek-projek kerajaan negeri Pulau Pinang, termasuk terowong bawah dasar laut, di mana sebanyak RM 2bilion telah dibayar kepada syarikat pemaju walaupun laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) masih tidak dikeluarkan, serta penjualan tanah sebanyak 6.4 ekar di Lebuh Raya Peel untuk pembinaan hospital mewah swasta tanpa tender terbuka.

Kami juga risau bahawa kerajaan yang berteraskan CAT (cekap, akauntabilti, telus) telah digantikan dengan sebuah kerajaan diktator. Ini kerana DAP sering mengubahkan pendirian mereka dan membuat keputusan terakhir. Oleh itu, kami berharap bahawa Guan Eng  sedar dan mengambil cuti sementara kes mahkamahnya dibicarakan untuk menjamin keadilan dan ketelusan.

Guan Eng telah didakwa atas dua kesalahan pada bulan Jun lepas, iaitu menyalahgunakan kuasanya sebagai Ketua Menteri pada 18 Julai 2014 untuk meluluskan permohonan syarikat milik Phang Li Koon, Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukarkan status sebidang  tanah sebagai balasan menjualkan rumahnya kepada Guan Eng dan isterinya Betty Chew. Ini merupakan satu kesalahan di bawah Perkara 23 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009.

Dakwaan kedua ialah Guan Eng telah berurus dengan Phang Li Koon atas kedudukannya sebagai seorang penjawat awam untuk membeli sebuah rumah daripada Phang Li Koon di bawah harga pasaran pada 28 Julai 2015. Ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dr Tan Chuan Hong
Setiausaha Organisasi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pulau Pinang

-MCA online-