26 November 2018

Kenyataan akhbar Pengerusi Biro Publisiti MCA Chan Quin Er

Hentikan khabar angin tentang rusuhan di tapak kuil

MCA kesal dengan kejadian rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya, awal pagi tadi yang telah menyebabkan kecederaan dan 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua motosikal turut dibakar.

Tindakan pantas pihak polis mengawal keadaan dengan membuat beberapa tangkapan serta menempatkan sebanyak 700 anggota dan pegawai polis di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa, patut dipuji.

MCA menggesa supaya semua pihak menghentikan segala bentuk spekulasi dan khabar angin, terutamanya yang mengatakan kononnya rusuhan kaum telah berlaku, kerana ini hanya akan menghuru-harakan masyarakat serta mengganggu tugas pihak polis menjalankan siasatan lanjut.  

Apa pun puncanya, pihak perusuh tidak sepatutnya mencederakan serta merosakkan harta-benda orang lain. Segala pertikaian dan salah faham sepatutnya diselesaikan secara baik melalui perbincangan sehinggalah tindakan undang-undang, bukannya melalui kekerasan yang akhirnya tidak menguntungkan sesiapa pun.

MCA menggesa dan menyokong pihak polis menjalankan siasatan yang terperinci dan mengambil semua langkah perlu bagi mengembalikan ketenteraman di kawasan berkenaan.


-MCA online-