Moody's Investors Service menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih tinggi berbanding negara yang diberikan penarafan A, mulai 2017 hingga 2020 susulan permintaan luar yang semakin meningkat.

Naib Presiden dan Pegawai Kanan Kreditnya, Christian de Guzman, berkata keluaran dalam negara kasar Malaysia dijangkakan mencatatkan pertumbuhan pesat pada purata 4.3 peratus pada 2017 dan 2018.

Beliau berkata, gambaran makroekonomi juga semakin stabil ekoran peningkatan harga komoditi.

"Ruang fiskal bagi menyokong perbelanjaan ekonomi semakin luas dengan unjuran defisit yang lebih kecil berbanding tahun lalu, dengan syarat harga minyak yang lebih tinggi yang setakat ini kekal pada AS$50 setong tahun ini," kata Guzman pada taklimat media hari ini.

Kerajaan katanya, juga menunjukkan komitmen yang tinggi kepada penyepaduan fiskal termasuk melaksanakan lebih banyak pembaharuan ketara bagi mencapai bajet seimbang pada 2020.

Bagaimanapun, katanya, risiko menurun masih wujud ekoran ketidaktentuan kedudukan luaran yang diburukkan lagi oleh kecukupan rizab akaun yang rendah, lebihan akaun semasa yang lemah strukturnya serta pendedahan kepada aliran modal.

Beliau berkata, akaun semasa yang lemah strukturnya hanya menyediakan penampan yang kecil kepada aliran keluar modal dalam pasaran bon dan modal, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peserta pasaran.

"Bagaimanapun, aliran keluar modal tidak menimbulkan risiko kepada mudah tunai kerajaan kerana ini boleh ditangani oleh modal hutang tempatan dan ketersediaan simpanan kumpulan selain pelabur institusi yang besar," katanya.

Guzman berkata, kadar pekerjaan yang stabil juga memastikan sumbangan berterusan kepada dana dan kecairan.

Beliau berkata, pengaliran keluar modal juga memberi tekanan ke atas ringgit dan inflasi yang meningkat.

"Kami tidak nampak kadar faedah akan diturunkan, dan kadar faedah akan stabil bagi menangani kebimbangan terhadap inflasi," katanya.

- Bernama