24 April 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan

Jangan mempolitikkan tawaran matrikulasi kepada pelajar bukan Bumiputera

Kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa tawaran tempat program matrikulasi bagi pelajar Cina dan India hanya “one-off” amat mengecewakan. Malah, lebih mengejutkan apabila Menteri Dr Maszlee Malik sanggup menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan PH untuk menyediakan tempat bagi pelajar-pelajar bukan Bumiputera.

Tuduhan Dr Maszlee ini akhirnya disangkal bekas Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, dimana beliau menjelaskan bahawa  kerajaan BN telah mula menawarkan 1,500 tempat bagi kaum India untuk program matrikulasi sejak tahun 2012, dan 1,000 tempat untuk kaum Cina.

BN selalu mengamalkan prinsip kesederhanaan dan meritokrasi, terutamanya dalam isu pendidikan. Janganlah PH menafikan usaha BN. Jika BN boleh buat, mengapa pula PH tidak boleh?

Janganlah gunakan alasan hutang negara tinggi pula, sedangkan kerajaan PH boleh meluluskan projek lebuhraya yang paling mahal di negara, iaitu PIL1 (Pan Island Link 1) di Pulau Pinang pada kos pembinaan RM7.5 bilion, atau RM380 juta setiap kilometer.

Hak pendidikan tidak patut digadaikan, sebaliknya usaha patut diperhebatkan lagi untuk menjadikan akses pendidikan sebagai satu keutamaan bagi rakyat, terutamanya mereka yang berpotensi dan berupaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Janganlah disebabkan kekurangan peluang melanjutkan pengajian, bakat-bakat muda negara kita terlepas ke negara luar.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee dan Timbalannya, Teo Nie Ching disaran supaya menumpukan perhatian terhadap tugas serta tanggungjawab mereka, dan berhentilah daripada mengeluarkan kenyataan atau polisi yang remeh-temeh seperti menukar warna kasut sekolah.

-MCA online-