7 Januari 2021

CRSM kutip derma melalui platform GoCare bantu mangsa banjir

Musim monsun yang melanda pada akhir tahun lepas telah menyebabkan berlakunya bencana banjir di beberapa negeri. Setakat 5 Januari 2021, sebanyak 7 negeri masih dilanda banjir, iaitu Johor dan Pahang yang paling teruk terjejas, diikuti dengan Terengganu, Perak, Selangor, Kelantan dan Kedah. Secara keseluruhannya, sebanyak 25,000 orang telah menjadi mangsa bencana ini.

Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) telah mengutip derma melalui jaringan crowdfunding GoCare, dengan meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM50,000. Selain itu, CRSM yang juga disenaraikan sebagai salah satu agensi di bawah Rakan NADMA, turut terlibat secara langsung dalam operasi bantuan krisis. Lebih daripada 100 sukarelawan telah digerakkan untuk menghantar bekalan makanan kering dan barangan keperluan, membantu pemindahan mangsa serta membekalkan barangan pencegahan jangkitan Covid-19 kepada mangsa-mangsa banjir. Kerja-kerja pembersihan dan pembaikan semula juga dilakukan sukarelawan MCA bagi membantu mereka yang memerlukannya.

Ketua Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) kebangsaan Dato’ Natalie Lim Chong Ly juga turut mengingatkan kepada orang ramai supaya menjaga keselamatan diri pada setiap masa, elakkan daripada menggunakan jalan-jalan yang ditenggelami air, dan buang makanan yang telah dicemari air banjir. Tambahnya lagi, para sukarelawan dan mangsa banjir juga digesa supaya sentiasa memakai pakaian perlindungan diri seperti sarung tangan getah dan kaca mata keselamatan semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, dan jangan sesekali alpa tentang kebersihan diri serta alam sekitar. 

NADMA juga menggesa orang ramai supaya mengikuti arahan dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila banjir berlaku, patuhi SOP bagi mencegah jangkitan Covid-19, mengekalkan penjarakkan fizikal dan memakai pelitup separuh muka setiap masa. Mangsa-mangsa banjir juga disarankan menjaga kebersihan diri, seperti membasuh tangan menggunakan sabun apabila menyediakan makanan atau selepas melakukan kerja-kerja pembersihan. 

Selain itu, CRSM juga bertindak menyebarkan maklumat yang tepat dan benar mengenai keadaan banjir dan ramalan cuaca melalui Facebook, serta informasi mengenai pelbagai bantuan bagi mangsa-mangsa banjir. Langkah ni diharapkan dapat meningkatkan kesedaran sosial orang ramai.

Laman web CRSM boleh diakses di sini:

https://www.facebook.com/CrisisInfo

Kepada sesiapa yang berminat untuk memberi sumbangan boleh melayari laman web www.gocare.org.my, dan hubungi talian 03-2203 3920 untuk maklumat lanjut.

-MCA online-