Pihak bank di negara ini diingatkan supaya tidak memberi kelulusan terlalu mudah kepada golongan belia dalam permohonan kad kredit atau pinjaman peribadi bagi mengelakkan negara mengalami kadar muflis belia yang semakin membimbangkan.

Bukan itu sahaja, mereka juga dilihat turut menawarkan hadiah yang akan diberikan secara 'on-the-spot' bagi menarik minat orang ramai membuat permohonan, namun tidak menerangkan secara terperinci berhubung caj-caj yang akan dikenakan.

Kadar faedah yang dikenakan sangat tinggi sehingga mencecah 18 peratus setahun dan ini akan membebankan pemohon sekiranya pembayaran balik tidak dapat dibuat mengikut masa yang telah ditetapkan.

MCA menyambut baik cadangan pakar-pakar ekonomi yang mahu Bank Negara dan institusi pemberi pinjaman, termasuk bank, agar mengetatkan lagi kelulusan permohonan kad kredit sebagai langkah untuk mengawal kadar muflis yang melibatkan golongan belia.

Bukan itu sahaja, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengkaji semula akta berkaitan muflis adalah tepat pada waktunya bagi membantu individu dibelenggu masalah itu, terutama golongan muda.

Tidak dinafikan ada di antara bank yang begitu mudah meluluskan permohonan kad kredit dan pinjaman peribadi kepada si pemohon, tetapi di kemudian hari, apabila pemohon mempunyai masalah kewangan dan tidak dapat membayar pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan, tiada toleransi daripada pihak mereka. Ini sekaligus akan mengundang masalah yang lebih besar kepada pemohon.

Namun, pihak bank tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya kerana golongan belia itu sendiri perlu mempunyai kesedaran dan bijak dalam menguruskan kewangan mereka. Mereka perlu meningkatkan kefahaman tentang pengurusan kewangan bagi melahirkan generasi muda yang celik dan bijak menguruskan kewangan secara berhemat.

Golongan belia juga perlu "ukur baju di badan sendiri". Jalani kehidupan mengikut kemampuan dan pendapatan yang diperolehi. Tidak berbaloi jika kita membuat pinjaman peribadi atau kad kredit semata-mata untuk memuaskan nafsu sendiri, sedangkan dalam masa yang sama kita sedang 'bergelut' melangsaikan hutang.

Daniel Wa Wai How
Setiausaha Agung Pemuda MCA
27 Jun 2022

- MCA Online